Saya baru dengar kenyataan Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi iaitu Megat Zulkarnain dalam live TikTok nya baru-baru ini.
Dalam live tersebut, dia (Megat) telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan fitnah secara langsung atau tidak langsung atau membayangkan perkara-perkara tohmahan terhadap saya seperti berikut:
1. Kononnya saya telah meminta jawatan Pengerusi RISDA atau Pengerusi FELCRA kepada Presiden UMNO selepas UMNO menjadi kerajaan dan kononnya akibat tidak dapat jawatan ini saya telah menyerang kerajaan.
2. Kononnya dia telah bantu saya dari segi kewangan kerana saya ada “tanggungan-tanggungan yang memerlukan bantuan kewangan.”
3. Kononnya saya telah memilih dan merayu kepada Presiden UMNO untuk bertanding di Shah Alam pada PRU-15 yang lepas.
4. Kononnya saya telah bersetuju untuk bekerjasama dengan DAP dalam pilihanraya semasa saya dalam Majlis Tertinggi UMNO.
5. Dan kenyataan-kenyataan lain yang berbaur fitnah dan bertujuan untuk memburuk-burukkan saya secara peribadi.
Saya lihat mereka (pemimpin-pemimpin UMDAP) ini sudah takut dan koyak dengan hujah-hujah saya dan mereka tidak boleh jawab dan oleh itu kini mereka giat melontar pelbagai tohmahan peribadi terhadap saya.
Kepada Setiausaha Politik Zahid iaitu Megat Zulkarnain, saya ingin komen ringkas saja dan saya pasti kamu tahu yang apa yang kamu kata itu adalah fitnah.
1. Tidak pernahlah saya melobi atau meminta jawatan-jawatan di atas seperti yang kamu kata. Dan jika saya mahu jawatan-jawatan ini saya boleh sahaja membodek dan menjilat seperti kamu tetapi saya tidak buat begitu kerana saya tidak mahu menggadai maruah dan mengkhianati perjuangan asal UMNO dan bersekongkol dengan DAP seperti kamu.
2. Tidak pernahlah saya minta duit atau terima satu sen pun dari kamu apa-apa bantuan kewangan. Kenyataan kamu tersebut adalah satu penipuan dan fitnah yang nyata.
3. Yang mencadangkan kepada Presiden UMNO untuk saya bertanding di Shah Alam adalah Ketua UMNO Bahagian Shah Alam. Saya yakin dia (Ketua Bahagian) dan UMNO Bahagian Shah Alam ikhlas. Namun kawasan parlimen tersebut adalah antara kawasan terhitam buat UMNO sebelum PRU-15. Presiden UMNO tahu sukar untuk sesiapa menang di situ, namun saya telah dihantar jua ke sana untuk dikorbankan (baca artikel-artikel penganalisis-penganalisis politik dalam akhbar sebelum PRU-15). Saya telah dicadangkan oleh beberapa pemimpin akar umbi UMNO untuk bertanding di satu kawasan lain yang mempunyai peluang untuk menang berbanding Shah Alam, tetapi bos kamu iaitu Zahid tidak setuju dan telah menghantar saya ke Shah Alam. Sebelum kamu fitnah dan tohmah saya, sekurang-kurangnya buatlah homework dahulu.

Dan,
4. Tidak pernahlah saya bersetuju untuk bekerjasama dengan DAP dalam pilihanraya, yang saya setuju ialah untuk BN membentuk kerajaan perpaduan mengikut titah SPB YDP Agong setelah tiada kerajaan dapat dibentuk selepas PRU-15. Saya pernah buat kenyataan bahawa SPB YDP Agong hanya bertitah untuk UMNO dan parti-parti membentuk kerajaan, tetapi bukan untuk UMNO pergi pilihanraya bersama PH/DAP yang akan mengakibatkan UMNO hilang akar umbi. Saya pernah utarakan perkara ini kepada Majlis Tertinggi UMNO tetapi Zahid dan kamu tidak setuju dan terus bawa UMNO bersama PH/DAP yang telah menyebabkan kekalahan teruk UMNO di PRN enam negeri termasuk di kawasan kamu sendiri pada tahun lepas. Walaupun kamu banyak pegang jawatan-jawatan politik dalam UMNO, kamu telah kalah berkali-kali dalam pilihanraya di kawasan sendiri. Apa guna kamu pegang jawatan itu ini tetapi tetap ditolak pengundi setiap kali. Nampaknya kamu, Zahid dan UMDAP tidak serik-serik lagi. UMNO akan hancur di tangan Zahid dan pembodek-pembodeknya seperti kamu.
Sebahagian daripada kenyataan-kenyataan kamu dalam live TikTok tersebut terhadap saya adalah kenyataan politik namun sebahagian lagi adalah berbaur fitnah dan boleh diambil tindakan undang-undang.
Peguam saya akan meneliti setiap kenyataan-kenyataan kamu tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya kelak.
Sebagai seorang Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri dan anggota pentadbiran yang dibayar gaji oleh rakyat, kamu tidak boleh menipu dan memfitnah rakyat. Jika kamu memfitnah orang, bersedialah untuk disaman.
Politik fitnah ini adalah politik usang dan politik lama. Politik jenis ini tidak membantu rakyat. Kita perlu berubah dan beralih dari politik jenis ini ke arah politik yang lebih baik.
- ISHAM JALIL
- #InspirasiChannelz | FB Isham Jalil Official