
KUALA LUMPUR, 10 MEI — Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah sepakat untuk mengekalkan kerusi yang dimenangi parti sebelumnya.
Setiausaha Agung UMNO itu berkata ia termasuk kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang menyaksikan BN memenangi kerusi terbanyak.
“Prinsip asas disepakati pimpinan BN dan PH, kerusi-kerusi dimenangi kekal dengan parti tersebut.
“Di Melaka BN kekal 21 kerusi. PH kekal 5 kerusi manakala 2 kerusi Perikatan Nasional (PN) akan dirundingi.
“Keputusan muktamad pengagihan kerusi akan ditentukan oleh kedua-dua Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.
Ketua Pemuda UMNO semalam menegaskan BN tidak akan menyerahkan kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu.
Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata BN yang ketika ini mendominasi kerusi DUN Melaka sama sekali tidak akan menyerahkan kerusi kepada Pakatan Harapan (PH).
Asyraf Wajdi berkata pemimpin kerajaan campuran kini diseru untuk mengutamakan isu berkaitan rakyat berbanding PRN yang belum tiba masanya.
Katanya, pucuk pimpinan BN dan PH akan berbincang tentang pengagihan kerusi apabila tiba pada waktu yang sesuai.
“Ketika ini lebih baik fokuskan segala usaha dan upaya untuk menangani pelbagai isu untuk membantu rakyat dan memakmurkan negeri serta negara.
“Insya Allah bila tiba masanya, kepimpinan akan mulakan perundingan dan perbincangan mengenainya,” katanya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom