ULASAN AWAL RMK13: ANTARA ASPIRASI DAN REALITI PELAKSANAAN – YB Syahir Sulaiman

Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dibentangkan pada saat Malaysia sedang menghadapi pelbagai cabaran, terutamanya pertumbuhan global yang perlahan, ketidaktentuan geopolitik, beban kos sara hidup, keperluan peralihan tenaga dan realiti negara menua menjelang 2030.

Maka, tidak dapat dinafikan bahawa RMK13 perlu menjadi pelan pembangunan nasional yang bukan sahaja menyeluruh, tetapi mampu menangani persoalan struktur yang telah lama membelenggu ekonomi negara, seterusnya meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Secara asasnya, RMK13 membawa aspirasi untuk mengangkat Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi yang mampan dan terangkum. Terdapat usaha menyusun kerangka pembangunan yang luas, melalui 7 Aspirasi Ekonomi MADANI, 3 Teras, 4 Tonggak dan 27 Keutamaan. Namun, persoalan utama bukanlah pada jumlah aspirasi atau keindahan naratif, tetapi pada kekuatan struktur, kejelasan pelaksanaan, dan kejujuran politik dalam melaksanakan reformasi sebenar.

Dari sudut pembangunan wilayah, RMK13 menunjukkan komitmen umum terhadap pembangunan seimbang antara negeri. Namun tidak seperti RMK12 yang menyatakan secara jelas komitmen 50% perbelanjaan pembangunan (DE) terhadap enam negeri kurang membangun, RMK13 tidak menetapkan sebarang formula agihan fiskal atau sasaran kuantitatif kepada negeri seperti Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis.

Lebih membimbangkan, RMK13 tidak menyentuh langsung soal reformasi hubungan fiskal Persekutuan-Negeri, isu perkongsian hasil cukai dan hasil mineral seperti petroleum yang dituntut negeri, serta usaha pengukuhan federalisme yang lebih matang dan adil. Sedangkan ini merupakan antara punca utama jurang pembangunan wilayah yang semakin melebar. Pembangunan yang adil tidak boleh berlaku jika suara negeri terus disisih daripada proses perancangan dan pelaksanaan.

Dari sudut struktur ekonomi, RMK13 mengakui cabaran seperti ketidaksamaan pendapatan, gaji buruh yang rendah, dan kebergantungan kepada FDI. Namun pelan ini tidak membawa reformasi yang berani. Malah tiada penekanan dalam RMK13 terhadap isu pemilikan ekonomi rakyat, terutamanya bagi golongan bumiputera, luar bandar dan pekerja informal.

Ini berbeza dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang berteraskan prinsip “tiada siapa tertinggal”, secara langsung memperjuangkan pemerkasaan ekonomi bumiputera dan pengagihan kekayaan yang lebih adil. Ketiadaan naratif peningkatan pemilikan rakyat menjadikan RMK13 seperti pelan pertumbuhan yang eksklusif kepada pemodal, tetapi kurang inklusif kepada rakyat terbanyak, sekaligus melebarkan jurang perbezaan dalam negara.

RMK13 menimbulkan beberapa persoalan asas yang masih belum terjawab secara tuntas. Adakah ekonomi negara kekal dengan model pertumbuhan berasaskan hutang dan pemilikan asing, sedangkan pertumbuhan yang mampan menuntut pemerkasaan bakat, teknologi dan pemilikan ekonomi rakyat sendiri? Reformasi pendidikan yang dicadangkan masih perlu diperhalusi dengan mengambil kira input semua pihak berkepentingan, bagi mencapai matlamat sosio-ekonomi yang digariskan.

Dalam konteks pengurangan subsidi dan peluasan cukai, sejauh mana kerangka perlindungan dan bantuan bersasar benar-benar mencerminkan situasi isi rumah terbeban? Dan dalam menghadapi realiti negara menua menjelang 2030, apakah strategi jangka panjang RMK13 untuk meningkatkan produktiviti, menyediakan jaringan sokongan warga emas, serta merangka dasar buruh yang progresif dan lestari? Persoalan-persoalan ini menuntut penjelasan dasar yang lebih jujur dan menyeluruh.

Sebagai blok pembangkang yang bertanggungjawab, Perikatan Nasional (PN) komited untuk mengambil bahagian secara aktif, kritikal dan membina dalam perbahasan RMK13. Ahli Parlimen PN akan meneliti setiap keutamaan dan teras yang dibentangkan, mencadangkan penambahbaikan terhadap aspek pelaksanaan, menuntut ketelusan dalam agihan fiskal, serta memperjuangkan hak dan suara negeri-negeri yang selama ini terpinggir dalam proses pembangunan nasional.

Perikatan Nasional turut merakamkan penghargaan kepada seluruh penjawat awam dan agensi pelaksana yang telah menyumbang kepada penyediaan RMK13. Kami mengiktiraf bahawa kekuatan perkhidmatan awam adalah tulang belakang pelaksanaan dasar negara, dan akan menjadi penentu kejayaan sebenar RMK13 kepada rakyat.

Justeru kejayaan RMK13 tidak bergantung kepada perancangan semata-mata, tetapi kepada kejujuran politik, ketelusan pelaksanaan, dan kesediaan kerajaan untuk mengiktiraf proses semak dan imbang, serta mendengar suara rakyat dan negeri.

Tanpa pelaksanaan yang berani, RMK13 dikhuatiri gagal melonjakkan negara ke hadapan, sebaliknya sekadar ‘berlari di tempat yang sama’.

SYAHIR SULAIMAN

KETUA POTFOLIO EKONOMI

PERIKATAN NASIONAL

BERTARIKH: 31 JULAI 2025

#InspirasiChannelz | Foto Parlimen Malaysia

- Iklan - Image Slider
Artikel sebelum ini
Artikel seterusnya

Ikuti Kami

Popular

Date:

Berita-berita Lain
Berita Lain

Mukriz Mahathir Templak Anwar

“Tun Mahathir perasuah”, tuduh Anwar Ketika Tun Mahathir berjabat tangan...

𝗖𝗔𝗕𝗔𝗥

1. Anwar cabar supaya pihak lawan mengemukakan usul tidak...

RMK13 beri tumpuan tiga dasar utama

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Rancangan...