
Oleh Kamil Awang
KUALA LUMPUR, 23 Mei — Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak terikat dengan mana-mana parti dan hanya tertumpu kepada penyatuan orang Melayu.
Bekas perdana menteri itu berkata parti politik mempunyai agenda tertentu dan tidak tertumpu kepada penyatuan Melayu.
“Mana parti pun, saya tiada ikatan dengan mana-mana parti. Saya cuma orang Melayu macam kamu jugalah. Kita cuma orang Melayu dan kita perjuangkan untuk orang Melayu.
“Bukan parti. Parti ada matlamat masing-masing. Mereka tidak boleh bersatu tetapi kalau Melayu menghadapi masalah, kita boleh bersatu dan menjadi kuat.
“Kita mesti ingat semasa kita lawan dengan Malayan Union, masa itu orang Melayu miskin, tiada cerdik pandai, tiada duit tetapi boleh lawan dengan British dan menang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan buku “100 Pesan Tun” di Pesta Buku Antarabangsa di sini hari ini.
Tun Mahathir diminta mengulas laporan Inspirasi Channelz yang mendakwa terdapat cubaan memujuk negarawan itu kembali menjadi Pengerusi Parti PEJUANG.
Katanya, penyatuan orang Melayu kini menjadi lebih penting dan ia terbukti dengan kejatuhan Malayan Union.
“Mengapa kita boleh menang kerana orang Melayu bersatu. Sekarang tidak boleh menang kerana tidak bersatu,” katanya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom