Tanpa Tun Mahathir, NGO janji tidak ganggu Sidang ASEAN 

KUALA LUMPUR, 20 MEI — PERKASA memaklumkan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan menghadiri Himpunan Melayu Berdaulat di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini Sabtu ini.

Presidennya, Syed Hassan Syed Ali berkata ini kerana bekas Perdana Menteri itu akan berangkat ke Jepun bagi menghadiri Forum Nikkei di Tokyo. 

“Tun Mahathir tidak hadir, beliau ke Jepun,” katanya dalam satu sidang media di sebuah hotel di sini mengumumkan penganjuran Himpunan Melayu Berdaulat.  

Sekretariat Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam bakal menganjurkan himpunan itu di hadapan Sogo Sabtu ini dengan menyasarkan lebih 15,000 peserta. 

Syed Hassan berkata himpunan yang akan mengumpulkan pelbagai latar belakang peserta itu mampu dipenuhi sehingga 20,000 orang khususnya orang Melayu.

“Hari ini merupakan mesyuarat kali ketiga kami dengan kehadiran lebih ramai pemimpin-pemimpin NGO termasuk mereka yang berpengaruh di media sosial.

“Ini menunjukkan kesungguhan kami untuk menganjurkan himpunan yang lebih besar walaupun bukan yang terbesar setakat ini.

“Namun yang paling besar dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini,” katanya yang bercadang himpunan lebih besar hujung tahun ini.

Ditanya pertindihan tarikh dengan Sidang Kemuncak ASEAN, Syed Hassan berkata ia bukan penghalang peserta menghadiri himpunan itu. 

Katanya, perhimpunan Sabtu ini tidak bertujuan menyerang mana-mana pihak yang memimpin parti politik tertentu. 

“Kami sedar 24 Mei itu jatuh dalam tempoh penutupan jalan raya di Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN dari 23 hingga 28 Mei.

“Namun kami percaya tiada halangan untuk orang ramai hadir kerana perhimpunan ini berlangsung pada 24 Mei bukan pada hari utama sidang kemuncak tersebut.

“Kami tiada niat langsung untuk mengganggu agenda kerajaan. Tarikh ini hanya kebetulan bertindih. NGO kami berdisiplin, tidak suka mencetus huru-hara,” katanya.

Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom

- Iklan -

Ikuti Kami

Ingin Maklumat Terkini?

Popular

Date:

Berita-berita Lain
Berita Lain

Rafizi seru PH-BN bincang elak insiden Zafrul berulang

KUALA LUMPUR, 1 JUN — Rafizi Ramli menggesa pimpinan...

Peguam: Kerajaan berganti, veteran masih tuntut pencen

Oleh Kamil Awang KUALA LUMPUR, 31 MEI — Peguam kanan...

UMNO selar hasrat Zafrul letak jawatan masuk PKR

KUALA LUMPUR, 30 Mei — Datuk Asyraf Wajdi Dusuki...

Pemuda: UMNO gembira, letak sekali jawatan menteri

KUALA LUMPUR, 30 Mei — Ketua Pemuda UMNO menyambut...