
Oleh Kamil Awang
KUALA LUMPUR, 5 JUN — Penubuhan Sekretariat Orang Melayu (SOM) tepat pada masanya mengenangkan keluh-kesah yang semakin dirasakan rakyat masa ini.
Inisiatif yang digerakkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagai memberi sinar baharu kepada orang Melayu yang menuntut penyatuan menyeluruh.
SOM yang dipimpin Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin bakal membawa dimensi baharu menyatukan orang Melayu menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Payung besar yang menjadi harapan Tun Mahathir ini diharapkan mampu memberi kelainan daripada Gerakan Tanah Air, Proklamasi Orang Melayu dan agenda penyatuan kaum lain.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara berpandangan SOM ditubuhkan tepat pada masanya di saat tiada isu serius membelenggu orang Melayu.
Prof Dr Azmi Hassan berkata SOM akan mendapat lebih sambutan jika ia disokong pemimpin muda Melayu dan tidak berfokus politik sempit.
“Hakikatnya orang yang sama di belakang Tun Mahathir, Hamzah, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin PAS. Ketika ini tiada ancaman terhadap orang Melayu secara spesifik.
“Kenapa Tun Mahathir memanggil ahli UMNO kerana tanpa mereka perpaduan ini tidak dicapai jika lebih menjurus kepada objektif politik.
“Untuk menyatukan orang Melayu, SOM memerlukan pendekatan gagasan profesional baharu mengambil tempat apa yang dilaksanakan Tun Mahathir,” katanya.

Aktivis politik, Chegubard pula berpandangan walau penubuhan SOM sedikit terlambat namun ia harus menjadi lambang penyatuan Melayu.
Katanya, SOM wajar menjadi benteng terhadap isu penghinaan agama Islam dan pembelaan terhadap Tanah Rezab Melayu.
“Walaupun ia sudah terlambat, ia penting untuk masa ini kerana orang Melayu masih majoriti. Orang Melayu makin tercicir dengan isu Tanah Rezab Melayu makin hilang.
“Kedaulatan bahasa Melayu malah Islam juga ditekan. Disebabkan Melayu berpecah, apabila mempertahankan hak dipanggil perkauman.
“Mereka yang mengambil hak orang Melayu pula diberi kebebasan, hak asasi dan sebagainya. Maka atas dasar itu, orang Melayu perlu disatukan,” katanya.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia pula berpandangan SOM wajar melibatkan penglibatan menyeluruh orang Melayu.
Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata SOM akan lebih mendapat sambutan jika ia terbuka kepada parti-parti dalam kerajaan.
“Hak orang Melayu yang kukuh dalam negara ini perlu dimartabatkan. Nampaknya yang menyertai SOM hanyalah daripada parti pembangkang dan NGO yang menentang kerajaan.
“Jadi sudah pasti persepsi orang ramai, SOM yang ditubuhkan Tun Mahathir sebagai satu strategi politik untuk menentang kerajaan dalam PRU akan datang.
“Sepatutnya SOM mengambil kira penyertaan parti lain seperti UMNO, PKR dan AMANAH supaya lebih menyeluruh dan tidak berpihak,” katanya.

Pertubuhan Negarawati Tanah Air berpandangan SOM perlu mendapat sokongan penuh orang Melayu tanpa melihat latar belakang politik.
Presidennya, Bibi Sunita Sakandar Khan berkata isu penghinaan terhadap agama Islam yang semakin berleluasa wajar menjadikan SOM payung besar orang Melayu.
“SOM terbuka kepada orang Melayu untuk bersama dengan jajaran baharu untuk berkumpul sebagai satu suara di bawah panji umat Islam.
“Ini satu usaha yang perlu disambut orang Melayu kerana lebih dua tahun kita terbeban dengan isu membabitkan agama Islam dan bangsa Melayu.
“Tetapi malangnya bila kita hendak bercakap, kita dikategorikan sebagai 3R dan ini menimbulkan ketakutan rakyat untuk bersuara,” katanya.
Bibi Sunita berkata menjadi harapan SOM akan meneliti dasar-dasar kerajaan yang melemahkan orang Melayu dari segi penguasaan ekonomi.
Katanya, SOM perlu menjadi pelindung orang Melayu terhadap dasar yang merugikan termasuk sektor korporat.
“SOM memberi impak yang sangat besar kerana akhirnya orang Melayu mampu bersuara melalui platform ini atas segala masalah yang selama ini terbeban.
“Sedikit demi sedikit kuota Bumiputera terhakis dan tidak dipertahankan sedangkan ada satu dasar menjamin kuota Bumiputera.
“Kita lihat apa yang berlaku kepada Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), Menara Kuala Lumpur dan banyak lagi agensi semakin terhakis dan terpupus,” katanya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom