
KUALA LUMPUR, 27 MEI — PAS menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 atas alasan rakyat masih terhimpit dengan kenaikan tarif elektrik dan air.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata pengumuman kerajaan rasionalisasi subsidi RON95 akan dilaksanakan pada separuh kedua 2025 amat mengecewakan.
“Ketika rakyat masih terhuyung-hayang dengan kenaikan tarif elektrik dan air, kerajaan nampaknya tidak sabar-sabar mahu mencabut satu lagi saki-baki bantuan yang tinggal.
“Lebih menjengkelkan, sehingga ke hari ini, kerajaan sendiri pun masih kabur siapa sebenarnya golongan T20 yang dikatakan tidak layak menerima subsidi.
“Rakyat selama ini memahami T20 ditakrifkan berdasarkan pengkelasan pendapatan isi rumah seperti yang digunakan dalam laporan rasmi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya semalam mengulas rancangan rasionalisasi subsidi RON95.
Katanya, kerajaan seharusnya mengenal pasti golongan sasar pihak yang akan terus diberikan subsidi RON95.
“Ada yang mengatakan penilaian akan dibuat berdasarkan lokasi, ada yang kata berdasarkan perbelanjaan, ada pula yang mengisyaratkan penggunaan data e-dompet.
“Akhirnya, siapa sebenarnya T20? Adakah satu keluarga empat orang di bandar yang gajinya RM11,000 tapi menyewa rumah pun dianggap T20?” soalnya.
Ahmad Fadhli berkata kerajaan perlu menangguhkan dahulu rasionalisasi subsidi RON95 dan menyelesaikan kenaikan tarif utiliti yang membebankan.
Katanya, kerajaan perlu mengemukakan definisi munasabah berhubung T20 dan membuktikan mekanisme subsidi bersasar bukan sekadar sasaran politik.
“Kalau tidak, jangan salahkan rakyat kalau mereka anggap ini bukan lagi kerajaan yang peduli tetapi kerajaan yang perlahan-lahan mencabut nafas rakyat,” katanya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom