Pengalaman sewaktu penjajahan asing banyak mempengaruhi gaya kepimpinan Dr. Mahathir yang memiliki semangat nasionalisme tinggi untuk mentadbir dan menghasilkan pemerintahan sendiri tanpa campurtangan kuasa asing. Dr. Mahathir sering mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak mengabaikan sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan. Di samping itu, beliau menggalakkan rakyat Malaysia supaya sentiasa bersatu padu melawan ancaman negara asing untuk menjajah semula Malaysia. Dalam perutusan sempena dengan Hari Kebangsaan Malaysia ke 40, Dr. Mahathir menyatakan bahawa: Walau apa pun terjadi pada kita, kita tidak harus melupakan sejarah perjuangan kemerdekaan negara kita. Sebab itulah kita mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan atau Hari Kebangsaan setiap tahun. Selain daripada menanam semangat cintakan negara di kalangan rakyat, Hari Kebangsaan mengingatkan kita kepada sejarah perjuangan kemerdekaan negara kita. Dengan mengetahui sejarah negara sendiri, kita boleh merancang masa depan negara kita dengan lebih baik dan berkesan.
Sepanjang hidup beliau, Dr. Mahathir telah melalui kehidupan di bawah penjajahan tiga kuasa asing iaitu British, Jepun, dan Siam. Beberapa perkara telah diperhatikan oleh beliau yang seterusnya menjadi landasan pemikiran beliau. Kekalahan British di tangan Jepun telah memberi keyakinan kepada beliau bahawa orang Barat bukanlah bangsa yang terlalu agung sehingga sukar untuk disaingi. Dengan kejayaan Jepun, beliau menyedari bahawa keteguhan dan disiplin tentera Jepun membolehkan mereka menandingi Barat dan menjadi sebuah kuasa dunia yang kuat khususnya dari segi ketenteraan. Ini telah menarik perhatian Dr. Mahathir. Orang Jepun sudah tentu merupakan orang yang sangat berdisiplin, bertatatertib dalam cara mereka sendiri, dalam cara mereka menabik, dan menyapa ketua mereka. Kesemua ini meninggalkan kesan ke atas diri saya dan kemudiannya menyakinkan saya bahawa dengan disiplin anda boleh menguasai hampir segala perkara. Oleh yang demikian terdapat satu kesedaran di kalangan kami bahawa jika kami mahu, kami boleh menjadi seperti orang Jepun. Kami mempunyai kebolehan untuk memerintah negara kami sendiri dan mampu bersaing pada tahap yang sama dengan orang Eropah.
Di samping itu, ilmu perubatan juga banyak membantunya mengenalpasti bagaimana cara terbaik mentadbir sebuah negara dengan menggunakan ilmu itu sebagai strategi untuk berhadapan dengan ancaman politiknya. Ini kerana setiap doktor mesti melalui proses memeriksa pesakit, menyelidik rekod sejarah perubatan pesakit, rawatan fizikal, ujian makmal, dan seterusnya mendiagnosiskan pesakit. Menurut Dr. Mahathir , peranan doktor sama dengan pemimpin politik kerana kita perlu memerhatikan setiap masalah termasuklah mengenalpasti dimensi sejarahnya, menganalisis tanda-tanda dan punca-punca permasalahan tersebut, dan akhir sekali mencari jalan penyelesaian yang terus membawa kepada proses tindakan. Cara-cara penyelesaian begini banyak digunakan oleh Dr. Mahathir sepanjang beliau menerajui kepimpinan negara. Pemikiran Dr. Mahathir boleh diumpamakan dengan penyakit barah di kaki. Sebelum barah di kaki itu merebak ke anggota badan lainnya, maka haruslah dipotong kaki tersebut. Begitu juga di dalam politik, beliau akan cuba mencari jalan penyelesaian ke atas cabaran kepimpinannya sebelum ia berlanjutan supaya ia tidak menjejaskan urusan pentadbiran atau menggugat kestabilan negara.
Akhir sekali, faktor ‘C.H.E. Det’ menggambarkan usaha Dr. Mahathir menyebarkan idealisme beliau melalui penulisan. Penulisan yang beliau lakukan bukan sahaja mampu memberi pulangan wang kepada beliau ketika menuntut di Singapura malah bakat menulis digunakan untuk menyalurkan idea-idea pemikiran beliau berkenaan situasi semasa. Ketika menulis menggunakan nama samaran ‘C.H.E. Det’, beliau banyak menulis berkenaan isu-isu kemasyarakatan khususnya berkenaan pendidikan tinggi masyarakat Melayu, kebebasan wanita Melayu, tarian tradisional dan kehidupan masyarakat Melayu . Kebolehan ini juga digunakan sewaktu peringkat awal bersama UMNO dimana beliau bersama dengan sekumpulan pemimpin muda UMNO telah menghasilkan sebuah akhbar bertajuk ‘Pemerhati’. Walau bagaimanapun, akhbar tersebut hanya bertahan selama 18 bulan sebelum penerbitannya dihentikan oleh kepimpinan UMNO pada ketika itu (Funston, 1998:10). Hasil kreativiti beliau di dalam bidang penulisan ini membolehkan beliau menulis karya yang penuh kontroversi seperti ‘The Malay Dilemma’ dan ‘The Challenge’. Melalui penulisan ini, beliau telah menonjolkan idea bukan sahaja berkenaan masyarakat Malaysia malahan meliputi senario Asia dan global terutama isu yang berkaitan dengan ekonomi dan pembangunan negara.
– Rusdi Omar : Sekolah Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia
#InspirasiChannelz | Foto : Chedet Official