
KUALA LUMPUR, 7 MEI — Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini membuat keputusan untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden PKR.
Menteri Ekonomi itu berkata jika kedudukannya gagal dipertahankan maka fokusnya nanti akan tertumpu memperkasakan PKR.
“Apa pun pilihan yang diambil perwakilan parti, ia membuka ruang kepada saya menawarkan sumbangan menguatkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Jika saya dipilih, saya boleh terus memainkan peranan di dalam kepimpinan parti sebagai Timbalan Presiden dan dalam kerajaan melalui saluran kerajaan.
“Jika saya tidak dipilih, saya boleh kembali sebagai seorang pemimpin akar umbi yang lincah berkempen di bawah,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook mengumumkan keputusan mempertahankan kerusi Timbalan Presiden PKR.
Katanya, pemilihan kali ini menjulang semangat demokrasi apabila Nurul Izzah Anwar dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menunjukkan minat untuk bertanding jawatan nombor dua parti.
“Dari awal lagi, saya menyatakan bahawa hak untuk bertanding itu adalah hak masing-masing dan wajar kita raikan dalam semangat demokrasi.
“Saya menyatakan bahawa saya bersedia untuk tidak bertanding Timbalan Presiden dan tidak menyertai Kabinet untuk memberi tumpuan kepada kempen akar umbi.
”Kebimbangan saya banyak berkisar kepada keadaan semasa yang mana kempen kerajaan dilihat terlalu bertahan dan tidak menyerang seperti PKR menjadi pembangkang,” katanya.
Rafizi berkata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Saifuddin memberi pandangan terdapat keperluan baginya kekal bertanding Timbalan Presiden.
Katanya, Saifuddin sudah dimaklumkan berhubung kesediaannya untuk memberi laluan kepada Menteri Dalam Negeri itu untuk bertanding jawatan timbalan presiden.
“Saya menyatakan kesediaan saya untuk memberi laluan agar saya boleh kembali berkempen secara bebas dan agresif ke arah PRU16 tanpa perlu terikat kepada peraturan Kabinet.
“Kedudukan saya sebagai seorang menteri menyebabkan saya terikat dengan konsensus pentadbiran kerajaan dan menyukarkan saya bersuara dengan lebih bebas seperti sebelum ini.
“Itu kekuatan yang saya ada sebagai seorang ahli politik dan wajar disesuaikan dengan keperluan kempen di masa berbaki dua tahun sebelum PRU16,” katanya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom