IPOH: Langkah dasar penyasaran subsidi diesel merupakan gambaran manifestasi rakyat yang disuarakan melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap adalah antara perkara yang akan diteliti dalam ‘bedah siasat’ (post-mortem) PRK itu.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pasukannya belum menerima maklumat penuh dan masih meneliti data bagi memperolehi gambaran menyeluruh keputusan berkenaan.
“Kita mengambil iktibar daripada suara rakyat di peti undi termasuk di Sungai Bakap, kita sedar tarikh undi (PRK Sungai Bakap) kurang sebulan daripada penyasaran subsidi diesel, untuk mengatakan ia berkait dengan satu dasar semata-mata atau beberapa dasar, ini yang akan kita lihat dalam post-mortem ini,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian NADI di Kg. Dato’ Ahmad Said Tambahan 2, di sini hari ini.
Sementara itu Fahmi berkata beberapa pengubahsuaian akan dilaksana melibatkan penyampaian maklumat mengenai dasar-dasar baharu kerajaan agar lebih difahami rakyat pelbagai segmen atau latar belakang.
“Usaha menyampaikan maklumat sebanyak mungkin telah kita lakukan, namun sama ada ia difahami rakyat, kita tidak pasti, selain itu ‘counter argument’ isu pembangkang juga kita perlu teliti semula, kita ambil kira pandangan parti, jentera di bawah untuk kita lakukan perubahan ini,” katanya.
Pada PRK Sungai Bakap calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail memenangi kerusi berkenaan dengan memperoleh 14,489 undi menewaskan pencabarnya daripada Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi.
Keputusan itu menimbulkan dakwaan pelbagai pihak yang menyatakan ia sebagai manifestasi rakyat yang menolak dasar-dasar kurang popular Kerajaan Perpaduan termasuk langkah penyasaran subsidi diesel.
BERNAMA | #InspirasiChannelz