
KUALA LUMPUR, 12 JUN — Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR menyelar cadangan Ahli Parlimen PAS yang mahu menangguhkan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang.
Lee Chean Chung berkata apa yang dibangkitkan Ahli Parlimen Permatang Pauh Muhammad Fawwaz Mohamad Jan menunjukkan kedaifan dalam isu kewangan negara.
“Projek LRT di Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Rancangan Induk Pengangkutan yang sudah dirancang sejak bertahun-tahun.
“Langkah ini penting untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan berpenduduk padat.
“Sebaliknya, kemalangan tragis melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fawwaz dalam satu kenyataan semalam menggesa kerajaan menangguhkan projek LRT Pulau Pinang yang menelan kos RM17.3 bilion.
Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang itu berkata dengan penangguhan itu kerajaan dapat menumpukan kerja menaik taraf Lebuhraya Timur–Barat (Gerik–Jeli).
Lee berkata cadangan Fawwaz itu sama sekali tidak mempunyai kaitan sama ada dari segi lokasi, kementerian mahupun jenis peruntukan.
Katanya, Fawwaz tidak bertanggungjawab mencampur-adukkan dua isu berbeza itu semata-mata untuk dijadikan sebagai senjata politik.
“Saya juga hairan mengapa seorang Ahli Parlimen Pulau Pinang sanggup menolak projek pengangkutan awam yang memanfaatkan negerinya.
“Jalan Gerik–Jeli memang memerlukan penambahbaikan dari semasa ke semasa di samping memperketat tahap keselamatan kenderaan berat.
“Saya turut bersimpati dengan keluarga mangsa tetapi penyelesaiannya bukan dengan mencantas projek pembangunan lain,” katanya.
Ahli Parlimen Petaling Jaya itu berkata apa yang lebih munasabah adalah menyalurkan peruntukan khas kepada Kementerian Kerja Raya.
Katanya, Jabatan Kerja Raya juga perlu mengambil tindakan segera bagi mengelak insiden sama daripada berulang.
“Menggunakan tragedi untuk menyerang projek yang tidak ada kaitan langsung adalah sesuatu yang amat tidak sensitif terhadap mangsa dan keluarga mereka.
“Rakyat berhak mendapat maklumat yang tepat dan berasaskan fakta. Bukan dimomokkan dengan naratif politik yang mengelirukan.
“Saya percaya pembangunan sistem pengangkutan awam dan keselamatan jalan raya bukan isu yang perlu dipilih salah satu kerana kedua-duanya penting,” katanya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom