Pilihan Raya Britain: ‘Saya mohon maaf’ – Rishi Sunak letak jawatan parti

LONDON: Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak mengesahkan beliau akan berundur dari jawatan sebagai ketua Parti Konservatif selepas kekalahan kepada Parti Buruh pimpinan Sir Keir Starmer dalam pilihan raya.

Dalam ucapan terakhirnya di 10 Downing Street, Sunak berkata adalah penting untuk membina semula parti itu bagi membolehkan mereka menjadi pembangkang yang berkesan.

Sunak turut meluahkan penghormatan terhadap Starmer yang akan mengambil alih peranan sebagai Perdana Menteri tidak lama lagi, dan menganggap beliau sebagai individu yang prihatin akan nasib rakyat.

“Saya telah memberikan segala-galanya, tetapi anda telah menghantar isyarat jelas bahawa kerajaan United Kingdom mesti berubah. Dan keputusan anda adalah satu-satunya pertimbangan yang penting.

“Saya telah mendengar kemarahan anda, kekecewaan anda dan saya bertanggungjawab atas kekalahan ini. Kepada semua calon dan pejuang parti Konservatif yang bekerja tanpa jemu dan tidak berjaya. Saya minta maaf kerana kami tidak dapat mencapai apa yang dihasratkan.

“Saya rasa sedih memikirkan betapa ramai rakan sekerja yang banyak menyumbang kepada komuniti mereka dan negara kita kini tidak lagi duduk di Dewan Rakyat. Kerja keras mereka dan khidmat mereka, saya ucapkan terima kasih.

“Berikutan keputusan ini, saya akan berundur sebagai ketua parti, bukan serta-merta, tetapi sebaik sahaja pengaturan rasmi untuk memilih pengganti saya dibuat. Adalah penting bahawa selepas 14 tahun dalam kerajaan, Parti Konservatif membina semula supaya berperanan penting sebagai pembangkang secara profesional dan berkesan,” tambahnya.

Dalam pilihan raya semalam, Parti Buruh memenangi majoriti besar di Parlimen dengan 650 kerusi.

Parti Konservatif mengalami prestasi terburuk dalam sejarah susulan krisis kos sara hidup, kegagalan dalam perkhidmatan awam dan beberapa siri skandal.

Agensi | Awani | #InspirasiChannelz

- Iklan - Image Slider

Ikuti Kami

Popular

Date:

Berita-berita Lain
Berita Lain

BN bersama PH tapi tidak GRS! PH bersama BN dan GRS? Politik Sarkis

Apasaja boleh dilakukan PH dibawah pimpinan Anwar Ibrahim untuk...

KHAIRY JAMALUDDIN PRESIDEN PARTI IKATAN?

KHAIRY JAMALUDDIN PRESIDEN PARTI IKATAN? Ramai yg mengirimkan persoalan benarkah...

Anwar mohon batal saman

Anwar Ibrahim memohon membatalkan saman pemula difailkan peguam P....

Skandal FAM – “Individu berpengaruh dan berkuasa”menjadi dalang?

Tun Dr Mahathir Mohamad mengesyorkan agar “individu berpengaruh dan...