
Oleh Kamil Awang
KUALA LUMPUR, 26 MEI — Peguam kanan kesal insiden mualaf tidak mendapat bantuan zakat terus tular di media sosial mencemar kemuliaan agama Islam.
Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata pengabaian mualaf hanya memberi persepsi negatif institusi Islam kepada penganut bukan Islam.
“Ini bukan kali pertama kita dengar masalah seperti ini di mana mualaf yang menghadapi kesusahan tidak dibantu atau tidak dilayan pihak berkuasa.
“Sememangnya pihak dari agama lain akan membantu kerana mereka berpandukan konsep ihsan tetapi mereka akan gunakan isu ini.
“Untuk menunjukkan kononnya pihak berkuasa Islam hanya mahu menarik mualaf memeluk agama Islam tetapi tidak mahu menjaga kebajikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Inspirasi Channelz mengulas video tular menyaksikan seorang wanita mualaf yang mahu meninggalkan Islam.
Wanita berkenaan mendakwa tidak mendapat pembelaan institusi zakat selepas ditinggalkan suami yang curang dengan wanita lain.
Mualaf itu mendakwa pihak gereja tampil memberikan bantuan menyebabkan dia nekad untuk meninggalkan agama Islam.
Haniff berkata sudah tiba masanya masjid mahupun pihak berkuasa agama tidak lagi memandang ringan isu pengabaian terhadap mualaf.
Katanya, insiden berkenaan sekiranya masih berulang hanya akan mencemarkan imej Islam kepada penganut bukan Islam.
“Perkara ini patut dianggap penting oleh majlis agama Islam kerana kalau kita tidak tunjuk ihsan kepada mualaf sendiri, maka bagaimana kita hendak tunjukkan kebaikan agama kita.
“Kalau betul suami sudah tinggalkannya kerana perempuan lain dan tanpa nafkah, bukankah majlis agama patut menyegerakan bantuan kepada wanita ini?
“Bukan sahaja wanita ini malah kepada mualaf lain sekalipun sama ada isteri atau mualaf yang bersusah-payah hidup kerana hilang kerja atau kecederaan,” katanya.
Beliau menegaskan pihak berkuasa agama tidak mempunyai alasan untuk mengabaikan wanita itu yang sudah ditinggalkan suami.
Katanya, majlis agama Islam seharusnya lebih berempati dalam memahami keperitan mualaf yang tiada lagi tempat bergantung.
“Jika apa yang dikatakan wanita itu adalah tepat maka penting bagi individu ini untuk dibantu.
“Mereka hendak pergi kepada keluarga mereka selepas memeluk Islam, jarang sekali mereka akan dilayan disebabkan isu sensitif penukaran agama. Mana mereka mahu pergi?
“Perkara ini sudah dibangkitkan beberapa kali kepada majlis agama tetapi perkara ini masih lagi berulang,” katanya menggesa bantuan segera kepada wanita itu.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom