
KUALA LUMPUR, 16 JUN — Penganalisis politik Universiti Malaysia Perlis (Unimap) mendakwa sudah tiba masanya Tan Sri Abdul Hadi Awang berundur daripada jawatan Presiden PAS.
Muhammad Izmer Yusof berkata jika Hadi berundur, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man antara calon paling layak menduduki jawatan Presiden PAS, lapor Utusan Malaysia.
“Saya melihat memang patut Hadi berundur kerana yang pertama atas faktor kesihatan dan kedua, inilah masa sesuai memandangkan PAS berada di kedudukan terkuat dalam politik.
“Gandingan Tuan Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Timbalan Presiden dilihat sesuai sekaligus mengekalkan kepemimpinan ulama.
“Jika kebanyakkan pimpinan profesional, dikhuatiri bakal menjadi masalah identiti kepada PAS,” katanya.
Muktamar PAS ke-71 pada September ini dilihat medan paling sesuai bagi Hadi untuk berundur dan digantikan dengan Tuan Ibrahim menerajui parti Islam itu.
Hadi dinobatkan sebagai Presiden PAS sejak 2003 menggantikan Allahyarham Datuk Fadzil Noor di saat parti Islam itu berada dalam kedudukan paling dominan.
PAS kini mempunyai bilangan ahli Parlimen paling ramai di Dewan Rakyat selain berjaya menguasai empat negeri.
Hadi kini berdepan masalah kesihatan namun pimpinan di akar umbi menggesa Ahli Parlimen Marang itu untuk terus memimpin parti menuju pilihan raya akan datang.
Muhammad Izmer berkata PAS akan terus diterajui ulama walaupun parti itu mempunyai ramai pemimpin dalam kalangan profesional yang layak menjadi presiden.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom