
KUALA LUMPUR, 26 MEI — Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyifatkan pelantikan Ahmad Fauwaz Fadzil sebagai Mufti Wilayah Persekutuan baharu selari aspirasi Malaysia Madani.
Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata pelantikan Ahmad Fauwaz mencerminkan harapan tinggi pemimpin negara terhadap kewibawaannya mengemudi institusi fatwa.
“Kepakaran beliau dalam bidang usul fiqh, fiqh muamalat, fiqh perubatan serta kefahaman fiqh kontemporari amat diperlukan.
“Terutama dalam membentuk dasar-dasar hukum Islam yang seimbang, berlandaskan maqasid syariah dan selari dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya.
Ahmad Fauwaz dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan berkuatkuasa Jumaat lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Beliau merupakan seorang ilmuwan yang prolifik dalam bidang perundangan Islam, pendidikan, kewangan Islam, dakwah dan penyelidikan.
Memiliki kelulusan syariah Islam dari Universiti Al-Azhar, Ahmad Fauwaz kemudiannya menyempurnakan Sijil Profesional Fatwa di Dar Al-Ifta’ Al-Misriyyah pada 2008.
Mohd Na’im percaya Ahmad Fauwaz akan memperkukuh lagi peranan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sebagai institusi autoritatif yang menjadi rujukan umat Islam.
Katanya, Ahmad Fauwaz juga dikenali sebagai tokoh yang mampu menjelaskan isu keagamaan semasa secara tuntas, inklusif dan mendidik.
“Semoga Allah memberkati pelantikan ini dan memberikan kekuatan kepada beliau untuk menjalankan amanah ini dengan penuh hikmah, integriti dan istiqamah,” katanya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom