Ada hikmahnya PKR yang mewakili PH kalah dalam dalam Pilihanraya Kecil Sungai Bakap. Ada kira-kira 3 tahun lagi sebelum PRU16 untuk PKR khususnya memperbaiki strategi dan naratifnya. Saya datang membantu kempen pada hari Khamis dan Jumaat minggu pertama kempen.Berceramah di sebuah Ceramah Umum di sebuah kampung di Sungai Buaya. Sambutan dingin.Kami berceramah di hadapan penyokong sendiri dari PH terutamanya anggota PKR.Hampir semuanya orang luar bukan penduduk tempatan.Bukan pengundi. Saya cuba menyokong calon PH dan menyokong Kerajaan Perpaduan dalam isu perlaksanaan subsidi diesel bersasar.Ceramah saya hambar.Saya lihat penyokong PH sendiri pun kelihatan defensif dalam isu subsidi diesel itu.
Saya lihat PKR kalah di Sungai Bakap dalam isu naratif nasional. Hari mengundi 6 Julai.Dua hari sebelum itu pada 4 Julai dibentangkan di Parlimen Laporan Ketua Audit Negara tentang penyelewengan dan ketirisan 11 projek-projek syarikat kerajaan. Antaranya penyelewengan dan ketirisan berbilion ringgit itu berlaku pada masa kerajaan sekarang. Mudah sahaja rakyat di Sungai Bakap menyimpulkan bahawa tak ada beza kerajaan sekarang dengan kerajaan- kerajaan yang terdahulu. Calon PKR di Sungai Bakap ini seorang calon yang bersih, berintegriti, dengan kelulusan yang tinggi dan layak menjadi wakil rakyat yang baik.Saya sempat bertemu Dr Joohari Ariffin pada pagi Jumaat 28hb Jun di Bilik Gerakan Daerah Mengundi Sungai Kechil. Malang sungguh kepada calon PKR pertama kali itu terpaksa memikul dosa PKR yang dikatakan telah memungkiri janji reformasi mereka, sehingga NGO BERSIH memberi grade F kepada Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh PKR.
Bukan salah Anwar Ibrahim.Bukan salah Ahmad Zahid Hamidi.Bukan salah UMNO dan juga bukan salah PKR serta PH apabila mereka terpaksa bergabung dalam Kerajaan Perpaduan yang juga ada nama keduanya iaitu Kerajaan Madani. Anwar, Zahid, PKR, PH, UMNO dan BN semuanya jadi mangsa keadaan.Tiada jalan lain.Suka tak suka sebuah kerajaan mesti ditubuhkan untuk mentadbir negara.Tetapi bagi ramai rakyat, baik Melayu atau bukan Melayu; sama ada masyarakat Islam atau Bukan Islam mereka beranggapan gabungan di dalam Kerajaan Perpaduan walaupun pragmatik tetapi mereka menganggap ia adalah politik reform yang songsang.
Jadi tidak hairan jika pengundi-pengundi di saluran 5, 6 dan 7 yang terdiri pengundi-pengundi di PRK Sungai Bakap menolak calon PKR dari PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan. Jelas sekali bahawa PKR dan PH kalah di Sungai Bakap kerana isu ekonomi. Najib Tun Abdul Razak Perdana Menteri ke-6 kalah dalam PRU14 pada Mei 2018 kerana isu GST dan 1MDB. Kali ini di PRK Sungai Bakap PKR dan PH yang mewakili Kerajaan Persekutuan kalah dengan isu perlaksanaan subsidi bersasar diesel. Secara objektif, saya secara peribadi bersetuju dengan Kerajaan Pusat dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa usaha mengukuhkan ekonomi adalah langkah tepat.Perlaksanaan subsidi diesel secara bersasar walaupun tidak popular tetapi adalah dasar yang betul dan bertanggungjawab.
Tetapi penerimaan rakyat termasuk di Sungai Bakap dalam isu diesel tersebut sangat merugikan calon PKR.Rakyat marah kerana kenaikan harga diesel menyebabkan kenaikan harga barangan yang lain menjadikan kos sara hidup semakin tinggi. Naratif politik pun tidak begitu baik apabila subsidi diesel ditarik balik sebahagiannya selepas langkah kerajaan menaikkan cukai SST dari 6 kepada 8% bagi sesetengah barang.Fitrah rakyat di mana-mana negara sekali pun mereka tak suka jika subsidi untuk rakyat dikurangkan atau dihapuskan atau cukai dinaikkan. PKR khususnya ada masa tak sampai 3 tahun sahaja lagi untuk mengelakkan PM Anwar Ibrahim menerima nasib yang sama seperti PM Rishi Sunak di United Kingdom yang tewas dalam pilihanraya pada Jumaat 5 Julai lalu. Hassan Abdul Karim Ahli Parlimen Pasir Gudang 6 Julai 2024
- Hassan Abdul Karim
#InspirasiChannelz