Melayu dalam bahaya, PN longlai hadapi pilihan raya

Oleh Kamil Awang

KUALA LUMPUR, 29 APRIL — Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning yang melabuhkan tirainya minggu lalu menghantar mesej jelas realiti semasa politik orang Melayu. 

Peratusan keluar mengundi yang sekadar 58 peratus jelas memberi isyarat PRK tidak mampu menterjemah suara keseluruhan 31,281 pengundi di Ayer Kuning. 

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil berpandangan keputusan di Ayer Kuning memberi isyarat orang Melayu tidak mampu untuk berpecah dalam pilihan raya akan datang.  

“Kalau kita hendak kembalikan kekuatan politik Melayu, kita kena satu-padukan orang Melayu dan undi Melayu tidak boleh berpecah. 

“Undi bukan Melayu tidak pecah. Undi kita majoriti 60 peratus tetapi tidak boleh lawan undi minoriti 30 peratus,” katanya menerusi ulasan di TikTok.   

PRK Ayer Kuning menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dengan majoriti 5,006 undi.

Calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir berjaya memperoleh 11,065 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek yang sekadar mendapat 6,059 undi.

Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS pula mendapat 1,106 undi dalam persaingan tiga penjuru sebagaimana diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

Peratusan keluar mengundi sekadar 58.07 peratus jauh tersasar daripada jangkaan SPR sebanyak 70 peratus.

Isham berkata keputusan PRK Ayer Kuning tidak mengejutkan kerana kerajaan akan menggunakan segala sumber untuk memenangi pilihan raya.

Katanya, apa yang menjadi persoalan ke mana hilangnya undi Melayu yang dahulu berpihak kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).   

“Daripada lebih 18,000 pengundi, jumlah orang Melayu yang keluar mengundi adalah 10,000 orang. PAS dapat 6,000 undi. Rata-rata orang yang undi PAS adalah orang Melayu.

“Maknanya BN dapat 4,000 undi Melayu. Mereka dapat 11,065 undi. Mana datang 7,000 undi lagi? Ia datang daripada Pakatan Harapan (PH)-DAP. 

“Mereka tidak boleh nafi kemenangan mereka daripada sokongan DAP. Semasa PRU15, BN dapat 9,088 undi ketika melawan DAP. Undi itu daripada orang Melayu di situ,” katanya.

Sementara itu, Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara mendakwa majoriti 5,006 undi yang dimenangi BN menunjukkan tiada sokongan kuat daripada penyokong PH.

Profesor Dr Azmi Hassan berkata pemimpin PH perlu bekerja lebih keras memastikan pengundi mereka tidak lagi berasa keberatan untuk menyokong calon UMNO.

“Dengan mengambil kira 58 peratus pengundi yang keluar, seharusnya majoriti dan jumlah undinya lebih tinggi. 

“Setahun setengah selepas PRU15, masih terdapat was-was penyokong PH mengundi calon BN. Pemimpin PH perlu bekerja keras supaya penyokong mereka selesa mengundi calon BN.

“Untuk PRU16, kerjasama itu sangat penting dan sepatutnya di Ayer Kuning menjadi lebih kukuh. Ayer kuning menterjemahkan banyak lagi yang perlu dilakukan BN dan PH,” katanya.

Aktivis politik Datuk Zaharin Mohd Yasin pula berpandangan PAS gagal memanfaatkan peluang menarik undi bukan Melayu dalam PRK kali ini. 

Katanya, PAS gagal memahami landskap politik di Ayer Kuning merupakan kerusi campuran pelbagai kaum yang tidak tertarik dengan isu Melayu-Islam sahaja. 

“Kawasan itu memang kawasan BN dan apabila PN cuba merampasnya, mereka salah strategi. Maka pemasaran politik untuk meminta pengundi Ayer Kuning beralih arah gagal.

“Antara puncanya kandang babi digunakan sebagai isu untuk orang Melayu tidak menerima BN yang tidak berbuat apa-apa tentang kandang babi.

“Babi makanan orang Cina atau bukan Islam. Ini menyentuh perasaan orang Cina yang mungkin pada asalnya mahu menyokong PN walaupun parti memperjuangkan Islam,” katanya.

Zaharin berkata BN jelas bergantung kepada undi bukan Melayu dalam PRK kali ini dan ia dilakukan bagi mengukuhkan kerjasama kerajaan campuran. 

Katanya, pengundi bukan Melayu pada hakikatnya keberatan untuk memberikan undi kepada calon UMNO tetapi terpaksa akur kepada arahan pimpinan parti.

“Kalau calon BN mendapat undi Melayu saja, dia kalah. Tentu dia mendapat undi bukan Melayu khasnya orang Cina yang pro DAP kerana UMNO sudah bergabung dengan DAP.

“Pengundi Cina walau benci dengan UMNO, mereka amat bimbang jika BN kalah, ia akan merosakkan imej kerajaan madani, itu yang penting.

“Tinggallah Melayu sokong Melayu. Bukan Melayu sokong BN dan BN menanglah,” katanya.

Pandangan Zaharin itu turut disokong Gabungan NASIONALIS yang melihat PN perlu menukar pecaturannya jika mahu memenangi pilihan raya. 

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata PN perlu lebih fokus menghadapi pilihan raya akan datang dengan tidak memberi bola tanggung kepada DAP. 

“Kemenangan BN sudah dijangka. Jadi tidak ada apa-apa kejutan. Peratus keluar mengundi 58 peratus sangat sedikit bermakna rakyat memang tidak suka PRK.

“⁠Sama ada BN atau PN menang, ia tidak merubah apa-apa. Kempen PN juga nampak tiada idea selain menakutkan orang Melayu terhadap DAP. Untuk PRU16, ini tidak boleh berterusan.

“⁠PN tidak nampak hala tuju. Ini memberi kesan kepada pengundi pertengahan. Undi BN juga tidak bertambah. Ini menunjukkan pengundi PH tidak memberi sokongan,” katanya.

Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom

- Iklan -

Ikuti Kami

Ingin Maklumat Terkini?

Popular

Date:

Berita-berita Lain
Berita Lain

Fadhlina optimis atlet MSSM raih emas Olimpik 2028

KUALA LUMPUR, 30 APRIL — Fadhlina Sidek optimis melihat...

MARA utamakan hafiz cemerlang taja ke luar negara 

KUALA LUMPUR, 30 APRIL — Majlis Amanah Rakyat (MARA)...

Melaka benar operasi ladang babi jika patuh syarat, kata Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 30 APRIL — Datuk Dr Muhamad Akmal...

Tiada kompromi ilustrasi salah Jalur Gemilang, kata Fadhlina

KUALA LUMPUR, 30 APRIL — Fadhlina Sidek menegaskan pihaknya...