
KUALA LUMPUR, 15 MEI — Tokoh wartawan veteran menegaskan persaingan Nurul Izzah Anwar merebut jawatan Timbalan Presiden PKR tidak hanya tertumpu soal nepotisme sahaja.
Datuk A Kadir Jasin berkata jika anak Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berjaya menewaskan Datuk Seri Rafizi Ramli maka peluang terbuka baginya menjadi Perdana Menteri.
“Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mahu ulas Nurul Izzah bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR. Beliau kata ia isu keluarga. Saya rasa saya terpaksa komen.
“Kalau pun ada unsur-unsur keluarga, nepotisme dan sebagainya, tetapi unsur kepentingan umum pun ada. Ia mungkin percaturan keluarga Anwar.
“Tetapi dengan kehendak takdir, Nurul Izzah boleh berakhir menjadi Perdana Menteri wanita pertama Malaysia,” katanya menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini.
Nurul Izzah kini dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR daripada penyandangnya Rafizi yang dilihat kurang mendapat sokongan akar umbi.
Rafizi dalam kempennya kebelakangan ini melancarkan serangan kepada beberapa pihak termasuk menggesa perwakilan memberikan undi kepada Nurul Izzah.
Kadir berkata dengan sokongan padu kepada Nurul Izzah, Rafizi kini hanya boleh berharap menjadi wira terkorban kerana kesetiaan yang tidak dihargai.
Katanya, tidak mustahil bagi Rafizi untuk menarik diri sebelum hari pengundian kerana bimbang tewas sebelum pertandingan.
“Ditakdirkan apa-apa berlaku kepada Anwar, sekarang atau pada masa depan, mesti ada pihak yang akan mencadangkan supaya Nurul Izzah ambil alih tempat bapanya.
“Nurul Izzah akan sentiasa disebut sebagai anak Anwar dan dikaitkan dengan nepotisme. Ironinya, nepotisme dan kronisme adalah teriakan perang bapanya sendiri,” katanya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom