
KUALA LUMPUR, 9 MEI — Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah tindakan tegas dan hukuman lebih berat menanti peneroka haram di negeri Pahang.
Sultan Pahang bertitah penerokaan tanah secara haram tidak lagi boleh dibiarkan bagi terus memartabatkan undang-undang negara dan negeri.
“Saya hendak mengingatkan kepada mereka, kita ada undang-undang di negara kita dan di negeri Pahang.
“Kalau ini dibiarkan, seolah-olah kita tidak ada pihak penguatkuasa, tidak ada pejabat hutan, tidak ada pejabat tanah, tidak ada pejabat menteri besar dan sebagainya.
“Jadi, kita harus memahami hakikat itu. Itulah yang sebenarnya. Mana-mana pihak yang hendak membuat permohonan, silalah buat permohonan secara rasmi,” titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika ditemui media selepas berkenan berangkat bercemar duli ke tapak operasi penguatkuasaan di kebun durian haram semalam.
Titah baginda, rakyat diingatkan agar tidak terkeliru dengan sebarang isu yang dibawa oleh mana-mana pihak seterusnya mengetepikan undang-undang.
“Jangan terkeliru, jangan terbeli dengan dakyah-dakyah ini kerana kita mesti ikut peraturan. [Kes] yang mana berlalu itu, saya tidak mahu ungkit. Kita hendak pergi ke hadapan.
“Kita [mahu] supaya ada satu sistem yang boleh kita urus tadbir hal-hal tanah ini dengan sebaik mungkin. Bukan seperti yang berlaku sekarang.
“Tidak adil bagi rakyat, tidak adil bagi kerajaan dan sebagainya,” titah baginda.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom