
KUALA LUMPUR, 9 MEI — Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa tiada sebarang cadangan untuk mencampuri kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam urusan pensijilan halal.
Ahli Parlimen BERSATU itu berkata sebarang penambahbaikan perlu dilaksana secara inklusif dan berperingkat dengan mengambil kira pandangan ulama, industri dan rakyat.
“Saya merujuk kepada beberapa pihak yang mengkritik cadangan agar peranan pensijilan halal Malaysia diperkasakan.
“Ia melalui penglibatan lebih menyeluruh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) khususnya dalam konteks promosi dan pengembangan pasaran halal Malaysia.
“Penting untuk saya jelaskan bahawa cadangan tersebut bukan bermaksud menafikan peranan JAKIM sebagai autoriti tertinggi dalam menentukan pematuhan syariah,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini mengulas salah faham berhubung kenyatannya di Parlimen pada Isnin.
Katanya, apa yang diutarakan itu satu langkah strategik dan pelengkap yang bertujuan untuk meningkatkan daya saing industri halal negara di peringkat global.
“Ini penting bagi membantu Malaysia meningkatkan nilai dagangan dalam menembusi pasaran baru tatkala kita berdepan kelembapan ekonomi akibat Perang Perdagangan Amerika-China.
“Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi sudah mewujudkan kerjasama erat antara agensi agama dan ekonomi bagi menjadikan industri halal sebagai sektor bernilai tinggi.
“Saya menyeru semua melihat cadangan ini secara rasional dan terbuka demi memajukan industri halal Malaysia tanpa mengorbankan prinsip agama dan tata kelola,” katanya.
Wan Ahmad Fayhsal berkata industri halal dapat dimajukan dengan memanfaatkan keupayaan MITI dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Katanya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga berpeluang membuka akses pasaran serta menarik pelaburan berkualiti dalam sektor halal.
“Seterusnya adalah mengurangkan birokrasi dalam proses mendapatkan sijil halal bagi produk eksport terutamanya kepada pengeluar tempatan yang menghadapi cabaran.
“Ia bagi menembusi pasaran antarabangsa disebabkan persaingan serta kekangan dokumentasi dan pengiktirafan.
“Peranan MITI dalam hal ini hanyalah sebagai rakan pelaksana strategik untuk mengangkat jenama halal Malaysia ke tahap yang lebih tinggi serta memperkukuh ekosistem halal,” katanya.
Beliau berkata JAKIM akan kekal sebagai badan utama dalam menetapkan garis panduan dan hukum syarak berkaitan halal manakala MITI memainkan peranan dalam pengurusan industri.
Katanya, cadangan itu selari dengan pendekatan negara maju dalam membangunkan sektor halal sebagai pemacu ekonomi strategik tanpa menjejaskan prinsip keagamaan.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom