
KUALA LUMPUR, 24 MEI — Timbalan Presiden PKR yang baharu mengingatkan Datuk Seri Rafizi Ramli bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim juga ayahnya.
Nurul Izzah Anwar berkata Ahli Parlimen Pandan itu perlu menerima hakikat tersebut sebagai pejuang sebenar parti reformasi.
“Anwar bukan ayah saya seorang tetapi ayah kepada Rafizi dan kami semua yang buat keputusan menyertai PKR atas dasar cintakan perjuangan dan idealisme dibawa parti ini.
“Mungkin ada segelintir pihak yang sertai PKR kerana berasakan ada peluang mendapatkan pengaruh dan kuasa.
“Tetapi majoriti sertai ketika kita tiada apa-apa kerana mereka sayangkan Anwar dan hormat seolah-olah ayah mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di Johor Bahru hari ini.
Katanya, semua ahli PKR diseru tidak melihat hubungan kekeluargaannya dengan Perdana Menteri sebagai ruang perbezaan.
Nurul Izzah semalam berjaya menewaskan Rafizi dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.
Bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menang dengan majoriti 5,937 undi menyaksikan Rafizi bakal meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom