
KUALA LUMPUR, 7 MEI — Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri mencadangkan Datuk Seri Rafizi Ramli meninggalkan PKR dan menyertai Perikatan Nasional (PN).
Datuk Zaid Ibrahim berkata dengan kepakaran yang dimiliki Menteri Ekonomi itu, Rafizi akan lebih dihargai menerusi sumbangan berteraskan “perjuangan” PN.
“Saya harap Rafizi akan meninggalkan PKR dan menyertai PN untuk meneruskan perjuangan politik.
“Rafizi boleh memilih daripada banyak parti utama tetapi mereka mempunyai satu persamaan. Mereka adalah hamba kepada taikun dan golongan berada.
“Dasar mereka adalah mesra perniagaan yang besar dan hanya memberi perkhidmatan kepada orang kaya baik warga tempatan mahupun warga asing,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di aplikasi X mengulas sokongan akar umbi PKR terhadap pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai timbalan presiden.
Katanya, sokongan akar umbi PKR yang menyokong Nurul Izzah untuk jawatan timbalan presiden tidak pernah berlaku dalam pemilihan parti itu sebelum ini.
“Kejatuhan Rafizi dalam PKR berlaku sangat pantas dan pasti menyakitkan. Saya berempati dengannya. Ia bukan disebabkan kekurangan keupayaannya sebagai pemimpin.
“Tetapi hasil daripada rampasan kuasa yang teratur oleh keluarga politik paling berkuasa yang pernah memerintah negara.
“Sokongan yang disusun dengan baik untuk Nurul Izzah dalam tempoh 48 jam terakhir ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.
Sehubungan itu, Zaid berkata langkah terbaik bagi Rafizi untuk masa ini adalah meninggalkan PKR dan menyertai PN.
“Katanya, PAS atau BERSATU akan lebih menghargai kepakaran Rafizi untuk selari dengan perjuangan politik masing-masing.
“Saya pasti beliau boleh menawarkan dasar yang lebih kreatif untuk membantu golongan kurang bernasib baik atau rakyat biasa di negara ini.
“PAS atau BERSATU akan menghargai kemahirannya lebih daripada partinya sekarang,” katanya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom