
KUALA LUMPUR, 17 APRIL — Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) terkenangkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang mampu mengekang insiden penghinaan Jalur Gemilang.
Dr Khairudin Murad berkata oleh kerana ISA tidak lagi berkuatkuasa maka kerajaan digesa tidak memandang ringan penghinaan akhbar berbahasa Cina kelmarin.
“Kalau zaman ISA dulu memang sudah kena masuk [penjara]. Pihak berkuasa jangan terlampau tabu menjadikan ia sebagai kebiasaan.
“Dari segi semiotik bendera itu melambangkan negara bangsa, negara yang berdaulat tetapi anda membuat kesilapan yang paling mudah di muka depan dan berwarna.
“Ini bukan buletin, ini surat khabar. Kita perlu kenakan tindakan tegas sekaligus menyekat isu ini daripada berulang,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette.
Akhbar Cina, Sin Chew Daily kelmarin memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit bersama bendera China di muka hadapannya.
Sin Chew Daily bagaimanapun mengemukakan permohonan maaf mendakwa ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
Katanya, pindaan kepada versi digital sudah dibuat dan pihaknya kecewa serta menyesal dengan kesilapan pada penerbitan itu.
Khairudin berkata kecuaian Sin Chew Daily amat menghairankan di saat akhbar mempunyai pemeriksaan rapi dan berulang kali sebelum dicetak.
Katanya, kesilapan itu boleh diibaratkan sebagai alat propaganda bersempena lawatan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia.
“Kita cakap pasal gatekeeper dekat media. Muka depan dan pada setiap peringkat muka surat akhbar mesti ada gatekeeper.
“Okaylah kalau sudah terlepas gatekeeper di peringkat editorial, kemudian hantar untuk cetakan tidak mungkin tiada orang tengok. Jadi memang ada sesuatu yang tidak kena.
“Dari segi simbolisme, kalau kita buat kajian mendalam, analisis, kita meletakkan ia sebagai propaganda halus,” katanya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom