
KUALA LUMPUR, 16 APRIL — Seorang perunding kewangan mendakwa muka depan akhbar Sin Chew Daily semalam membawa makna yang amat mendalam.
Dr Azizul Azli Ahmad berkata akhbar berkenaan cuba membawa naratif kerjasama dua negara yang akan mengorbankan agama Islam di Malaysia.
“Ketiadaan bulan sabit menanggalkan identiti Islam dalam simbol negara. Ini sangat signifikan kerana bulan sabit elemen utama yang membezakan Jalur Gemilang daripada bendera lain.
“Ini boleh dibaca sebagai satu bentuk ‘de-Islamisasi’ visual mencetuskan persoalan tentang naratif kebangsaan yang ingin dibentuk oleh media tersebut.
“Adakah ia mengangkat Malaysia dalam bentuk sekular, neutral agama atau sedang menormalkan pengguguran simbol Islam?” soalnya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini mengulas muka depan akhbar bahasa Cina, Sin Chew Daily.
Akhbar itu semalam memuatkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan di muka hadapannya yang membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia.
Sin Chew Daily bagaimanapun mengemukakan permohonan maaf mendakwa ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
Katanya, pindaan kepada versi digital sudah dibuat dan pihaknya kecewa serta menyesal dengan kesilapan pada penerbitan itu.
Azizul berkata akhbar itu kemudiannya memainkan isu tersirat apabila memaparkan kapal dengan Jalur Gemilang dan bendera China.
Katanya, kapal itu menggambarkan perjalanan, kerjasama dan hala tuju bersama antara dua negara yang memberi tafsiran tersendiri.
“Dengan bendera Malaysia yang tidak lengkap, kapal itu kelihatan membawa sebuah identiti Malaysia yang sudah diubah atau baru — seolah-olah dalam perjalanan.
“Malaysia perlu ‘menanggalkan’ identitinya untuk selari dengan China. Bulan sabit simbol Islam ditinggalkan.
“Bendera China kelihatan lengkap dan berkibar tegak manakala bendera Malaysia sudah hilang sebahagian elemennya,” katanya.
Beliau berkata banyak persoalan timbul menerusi muka depan akhbar Sin Chew Daily semalam termasuk elemen Islam yang cuba dihapuskan.
Katanya, Malaysia dilihat perlu meninggalkan identiti rasminya iaitu agama Islam jika mahu meneruskan hubungan dengan China.
“Adakah ini bentuk pengaruh kuasa lembut? Adakah ia disengajakan sebagai ujian sensitiviti atau normalisasi visual Malaysia tanpa elemen Islam?
“Walaupun diselitkan dalam semangat ‘persahabatan’, ia boleh membawa mesej untuk maju bersama China, Malaysia mungkin perlu mengorbankan sebahagian identitinya.
“Apabila media sengaja memanipulasi simbol kebangsaan, ia bukan lagi sekadar penyampai berita tetapi menjadi alat pembentukan realiti baharu yang memadam identiti asal,” katanya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom