
KUALA LUMPUR, 4 JUN — Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menggesa semua pihak tidak menyebar maklumat salah berhubung penggunaan tong gas ungu.
Fuziah Salleh berkata peniaga kecil-kecilan masih boleh menggunakan maksimum tiga tong gas hijau yang berkapasiti 14 kilogram (kg) setiap satu.
“Peniaga kecil macam Makcik Kiah masih boleh guna tong gas hijau (bersubsidi). Syaratnya, tidak lebih daripada tiga tong gas 14 kg pada satu masa. Jumlah maksima 42 kg.
“Ini bermakna, kalau Makcik Kiah guna satu tong untuk goreng pisang, satu untuk mi, satu untuk air, Makcik Kiah masih layak guna tong hijau bersubsidi. Tidak perlu tukar ke tong ungu.
“Tong gas ungu (tanpa subsidi) hanya diwajibkan kepada pengguna industri dan komersial berskala besar seperti restoran besar, kilang, hotel dan seumpamanya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini mengulas tafsiran salah di laman Facebook Pemuda UMNO Kota Melaka.
Katanya, rakyat perlu diberikan maklumat tepat bahawa kerajaan sentiasa cakna dalam menghulurkan bantuan terutamanya pengagihan subsidi kepada yang layak.
“Jadi, janganlah kita takut-takutkan rakyat dengan maklumat kurang tepat. Apa yang penting, bantuan kerajaan sampai kepada yang benar-benar layak.
“Subsidi terus dinikmati oleh golongan kecil dan sederhana,” katanya yang menggesa tiada lagi kekeliruan berhubung penggunaan warna gas oleh peniaga.
Pemuda UMNO Kota Melaka minggu lalu mendakwa peniaga kecil seperti Mak Cik Kiah akan terjejas sebanyak RM520 sebulan jika menggunakan tong gas ungu.
Mereka mendakwa Mak Cik Kiah akan terbeban selepas harga tong gas ungu lebih mahal RM43.40 berbanding tong gas hijau bersubsidi yang sekadar RM26.60 dengan kapasiti 14 kg.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom