
KUALA LUMPUR, 26 APRIL — Menteri Komunikasi menegaskan pemantauan dan kawal selia akan terus dilakukan bagi memastikan capaian internet di negara ini berada pada tahap terbaik.
Datuk Fahmi Fadzil berkata komitmen itu dibuktikan melalui 1,257 sesi pengujian standard mandatori kualiti perkhidmatan (MSQoS) bagi suku pertama tahun ini, lapor BERNAMA.
“Tempoh 2023 dan 2024, sebanyak 46 penalti dengan jumlah kompaun keseluruhan sebanyak RM6.55 juta dikenakan kerana ketidakpatuhan kepada MSQoS.
“Semua penyedia perkhidmatan diminta untuk memberi perhatian serius dan pantas dalam menyelesaikan aduan-aduan yang dikemukakan oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi pengujian liputan di Pusat Pemuliharaan Orang Utan di Sepilok, Sandakan hari ini.
Katanya, sebanyak 135 notis dikeluarkan kepada syarikat telekomunikasi pada tahun ini berpandukan Seksyen 51(2) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Mengulas sesi ujian kualiti internet di Sepilok, Fahmi berkata secara keseluruhan liputan di kawasan tumpuan pelancong itu berada pada tahap memuaskan.
“Namun, masih ada kawasan yang agak lemah liputannya. Jadi, saya arahkan penyedia perkhidmatan terlibat untuk ambil tindakan sesegera mungkin bagi tingkatkan kualiti liputan.
“Pada masa sama, liputan wifi awam perlu ditambah baik dengan cepat, lebih-lebih lagi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan terus bekerjasama rapat dengan pengendali rangkaian mudah alih.
Katanya, ia bagi memastikan syarikat telekomunikasi di negara ini sentiasa berusaha menambah baik kualiti perkhidmatan rangkaian dan liputan.
“SKMM akan terus melakukan pemantauan dan aktiviti kawal selia serta tidak akan teragak-agak menguatkuasakan instrumen undang-undang yang diperuntukkan,” katanya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom