
KUALA LUMPUR, 8 MEI — Pembela Tanah Air (PETA) menggesa pihak polis menahan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selepas bukti dan saksi kini dalam pengetahuan pihak berkuasa.
Penyelaras Kebangsaannya, Chegubard berkata Ketua Menteri Melaka wajar tampil memberikan kerjasama kepada polis selepas semua bukti kini berlegar di media sosial.
“Kini polis tidak punya pilihan. Ab Rauf wajib ditahan malangnya sehingga kini Ab Rauf langsung tidak dipanggil di mana-mana balai polis untuk rakaman percakapan.
“Ini soal integriti. Kini diakui, saksi dipanggil Ab Rauf ke hotel untuk tawaran dan mesyuarat rancang pakatan jahat. Ab Rauf guna peguam sogok.
“Ab Rauf akui susun pegawai penguatkuasa. Kalau tidak salah kenapa menipu? Menipu buat salah untuk tutup salah sudah menjadi amalan Ketua Menteri Melaka?” soalnya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini mengulas penafian berterusan Ab Rauf.
Katanya, Ab Rauf perlu tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis selepas rakaman audio tular mirip suara Ketua Menteri Melaka itu.
“Rakaman tular serius kerana ia jenayah terkait Seksyen 120A — pakatan jahat dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara dan rotan.
“Sogokan nilai ratusan ribu ringgit disalurkan melalui peguam dan saksi juga diberi tandatangan akuan bersumpah palsu bukan di hadapan pesuruhjaya sumpah.
“Melalui rakaman tular juga difahamkan pegawai penguatkuasaan terlibat disusun sama ada turut menggunakan sogokan atau guna kuasa kedudukan sebagai Ketua Menteri,” katanya.
Chegubard berkata Ab Rauf bila dicabar hanya berani menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri mengadakan sidang media untuk penafian dangkal.
Katanya, Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad sendiri sudah tampil memberikan kerjasama kepada polis.
“Adakah semua ini berlaku sebab dihantui ketakutan korupsi dan jenayah salah lakunya dimiliki oleh Ali? Sebelum terdedah beliau hendak hancurkan kredibiliti orang.
“Adakah pakatan jahat ini memang amalan beliau seperti mana dia rampas kuasa ketika Datuk Seri Sulaiman Md Ali menjadi Ketua Menteri?” soalnya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom