
Oleh Kamil Awang
KUALA LUMPUR, 7 MEI — Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad menggesa Ketua Menteri Melaka tampil memberikan kerjasama dalam siasatan polis.
Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara itu berkata penafian Datuk Seri Ab Rauf Yusoh tidak wajar sebaliknya perlu mengalu-alukan siasatan pihak berkuasa.
“Saya tidak nampak ruang untuk polis tidak mengambil tindakan. Saya buat cabaran kepada Rauf bahawa bukan penafian yang sepatutnya dilakukan.
“Tetapi yang utama sebagai pemimpin tertinggi di Melaka, mesti menunjukkan contoh, perkara sebegini perlu diserahkan kepada polis. Ini tanggungjawab beliau tunjukkan contoh.
“Saya amat terkilan apabila Rauf dalam sidang akhbar lepas menafikannya,” katanya dalam satu sidang media di sebuah hotel di sini hari ini.
Rauf bulan lalu mendakwa tidak mempunyai kaitan dalam penahanan Mohamad Ali oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Katanya, sebarang dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan penahanan tersebut tidak berasas, spekulatif dan mengelirukan rakyat.
Mohamad Ali berkata sebagai bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, beliau percaya kepada keadilan dan keluhuran Perlembagaan.
Katanya, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan dengan adil dan tidak mudah dimanipulasi pihak tertentu dalam siasatan.
“Undang-undang negara kita perlu ditegakkan dengan penuh saksama. Saya dapat merasakan ketika dahulu saya bertugas di Dewan Negara.
“Saya juga lahir daripada orang kebanyakan biasa yang cintakan keadilan. Keadilan ini tidak memilih sesiapa sama ada pembesar negara, negeri atau sesiapa sahaja,” katanya.
Sementara itu, peguam yang mewakili Mohamad Ali berkata saksi dalam perbualan telefon yang tular di media sosial sudah tampil membuat laporan polis.
Muhammad Rafique Rashid Ali berkata dua saksi dalam pendedahan itu turut meminta perlindungan polis di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
“Dua saksi itu dengan rela hati sudah membuat laporan polis dan memohon perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 atau Akta 711.
“Dua saksi ini sudah mengesahkan permohonan mereka dalam laporan polis dan memohon untuk mendapat perlindungan di bawah akta tersebut.
“Dalam kes ini polis mestilah memberikan keselamatan perlindungan dan sebagainya. Kami sahkan dua saksi itu memang ada dan sudah membuat laporan polis,” katanya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom