
KUALA LUMPUR, 26 MEI — Parti PEJUANG mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anaknya Nurul Izzah Anwar sememangnya mengamalkan nepotisme dalam PKR.
Ketua Penerangannya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata Perdana Menteri tidak dapat menafikan dakwaan itu walau anaknya dipilih oleh perwakilan PKR.
“Tetapi yang jelas perwakilan yang memilih adalah dari PKR yang mana ayah pada Timbalan Presiden adalah ketuanya.
“Maka bermulalah kempen di media sosial. Pentaksub keluarga Anwar,” katanya menerusi coretan di laman Facebook miliknya semalam.
Nurul Izzah minggu lalu berjaya menewaskan Datuk Seri Rafizi Ramli dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.
Bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menang dengan majoriti 5,937 undi menyaksikan Rafizi bakal meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi.
Muhammad Rafique berkata senario keluarga Anwar itu berbeza dengan pendekatan yang digunakan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, bekas perdana menteri itu tidak mengamalkan nepotisme dengan terbukti apabila penglibatan lewat Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam politik.
“Tiada istilah nepotisme pada Tun Mahathir atau Mukhriz. Presiden PEJUANG itu hanya ahli UMNO biasa hingga Tun Mahathir bersara pada 2003.
“2004 Mukhriz bertanding jawatan di peringkat Kubang Pasu, kemudian bertanding dan menang Exco Pemuda UMNO.
“Jadi Menteri Besar Kedah bagi Barisan Nasional bila Tun Mahathir tiada jawatan apa-apa,” katanya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom