Biden tidak lagi hadiri acara selepas pukul 8 malam bagi membolehkannya mendapat lebih banyak tidur.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberitahu gabenor Demokrat sebahagian daripada rancangan beliau ialah tidak lagi menghadiri mana-mana acara selepas pukul 8 malam bagi membolehkannya mendapat lebih banyak tidur.

Rancangan itu disuarakan calon parti Demokrat dalam Pilihan Raya Presiden pada November itu, kongsi tiga sumber yang menghadiri taklimat bersama Presiden AS itu di White House pada Rabu

Kenyataan itu, yang pertama kali dilaporkan oleh The New York Times dibuat ketika Biden yang berusia 81 tahun berusaha untuk meyakinkan sekumpulan lebih 20 pemimpin negara tentang keupayaannya untuk mengalahkan bekas Presiden Donald Trump pada November dan memerintah secara efektif selama empat tahun lagi.

White House bagaimanapun, tidak segera mengulas apa yang disebut oleh Presiden.

Sebaliknya, seorang pembantu kempen Biden menjelaskan, selain melakukan persediaan perbahasan dalam seminggu selepas dua perjalanannya ke Eropah, jadual Biden turut padat dengan tugasan rasmi selain kerja-kerja kempen.

Dalam taklimat itu, Biden turut membuat jenaka yang tidak disambut dengan reaksi yang baik dalam kalangan pemimpin Demokrat dengan berkata: “Saya baik-baik saja – saya tidak tahu tentang otak saya.”

Menurut pengerusi kempen Biden, Jen O’Malley Dillon, Presiden “jelas sekali membuat jenaka dan kemudian berkata, ketepikan semuanya.”

Susulan prestasi buruk Biden semasa perbahasan CNN minggu lalu, beberapa pemimpin Demokrat bersuara dan menyeru Biden untuk menarik diri daripada bersaing dalam pilihan raya, menyebabkan White House bergelut untuk meyakinkan pihak yang skeptikal baik di dalam parti dan pengundi.

Bahkan, beberapa hari berikutnya, pegawai pentadbiran telah memberikan penjelasan yang mengelirukan dan bercanggah ketika mereka cuba mengelak menyentuh mengenai prestasi Biden yang mencetuskan kebimbangan pengundi berhubung usia Biden.

Biden, Presiden tertua dalam sejarah AS berhadapan persoalan mengenai usia dan kesihatannya sejak bertahun lalu.

Kemuncak pada kebimbangan pengundi semasa debat itu ialah apabila suara Biden bertukar menjadi serak dan ada ketikanya apa yang disebut beliau sukar difahami, meninggalkan Trump – yang hanya tiga tahun lebih muda daripadanya lebih cergas.

Majoriti penonton berpendapat, Trump yang juga bekas Presiden ialah pemenang dalam debat berkenaan, menurut tinjauan yang dilakukan CNN.

Prestasi perbahasan Biden tempoh hari juga membuka ruang untuk lebih banyak pemerhatian dan persoalan mengenai laporan kesihatan presiden, dengan sumber menggambarkan penurunan dalam kecergasan mentalnya.

The New York Times melaporkan awal minggu ini bahawa “kesalahan” presiden telah meningkat dan semakin membimbangkan, dengan sumber memberitahu persiapan perbahasan enam hari Biden di Camp David tidak bermula sebelum pukul 11 pagi dan presiden diberi masa untuk tidur setiap hari.

Setiausaha Akhbar White House, Karine Jean-Pierre dalam taklimat pada Rabu mengelak daripada menjawab soalan wartawan sama ada Presiden tidur siang setiap hari susulan laporan The New York Times.

Sebaliknya, Jean-Pierre berkata, gangguan tidur dan keletihan akibat penerbangan (jet lag) menyebabkan Biden kurang sihat. – Agensi | #InspirasiChannelz

- Iklan -

Ikuti Kami

Ingin Maklumat Terkini?

Popular

Date:

Berita-berita Lain
Berita Lain

Perlantikan Thaksin Sinawat, Persediaan Asean 2025

Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan pengerusi ASEAN pada...

Tun Dr Mahathir Mohamad Mempromosi Tahun Melawat Kedah 2025

Tun Dr Mahathir Mohamad Dalam Rangka Kerja Di Langkawi...

Presiden Prabowo Demam,Pertemuan Bersama PMx Di Langkawi DiTangguhkan

KUALA LUMPUR, 23 Disember- Pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk...

Demi Negara Tun Dr Mahathir & Anwar Ibrahim Perlu Berdamai – Khairuddin Abu Hassan

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan Mencadangkan Agar "ELDER COUNSEL"...