
KUALA LUMPUR, 16 JUN — Parti BERSATU kesal Tan Sri Razarudin Husain memilih kampung ibunya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan sebagai Kampung Angkat Madani 2025.
Ahli Majlis Pimpinannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata pemilihan Ketua Polis Negara (KPN) itu jelas satu konflik kepentingan pegawai tinggi kerajaan.
“Saya terkejut membaca berita bahawa Razarudin memilih kampung ibunya iaitu Kampung Parit Seberang sebagai Kampung Angkat Madani 2025 di bawah seliaannya.
“Ini merupakan satu konflik kepentingan yang amat jelas dan lebih buruk lagi ia membabitkan perbelanjaan wang rakyat oleh badan penguatkuasa undang-undang.
“Jika Razarudin mahu membantu kampung ibunya, maka sepatutnya gunakanlah wang sendiri,” katanya menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini.
Media semalam melaporkan Razarudin memilih kampung ibunya di Kuala Pilah sebagai Kampung Angkat Madani di bawah seliaannya.
Katanya, sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi menaik taraf infrastruktur kampung terbabit selaras matlamat memperkukuh prasarana asas penduduk luar bandar.
Wan Saiful berkata tindakan Razarudin itu amat dikesali apabila polis sebagai agensi yang sepatutnya menjulang integriti melakukan perkara sebaliknya.
“Sejak bila pula seorang individu boleh ‘memilih kampung ibunya’ untuk menerima wang rakyat sehingga RM1 juta?
“Lebih menyedihkan, ia dilakukan oleh polis iaitu pasukan yang sepatutnya menjulang integriti dan tadbir urus baik dalam negara.
“Pengumuman ini merupakan satu lagi bukti betapa amalan kronisme semakin memuncak dalam kerajaan hari ini,” katanya.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata Razarudin yang akan bersara minggu depan mungkin akan mengeluarkan kenyataan balas menghalalkan perbuatan itu.
Katanya, pimpinan kerajaan kini dilihat cenderung mengamalkan kronisme dan nepotisme yang semakin membarah dalam pentadbiran.
“Bapa pilih anak. Suami pilih isteri. Anak pilih ibu. Abang pilih adik. Semuanya ada dalam kerajaan hari ini.
“Saya jangka lepas ini akan ada kenyataan mereka keluarkan untuk kata bahawa proses pemilihan dibuat secara telus oleh jawatankuasa bebas.
“Saya katakan bahawa ini adalah afterthought selepas barah kronisme didedahkan oleh media. Itu juga alasan basi yang amat biasa digunakan oleh semua kroni seluruh dunia,” katanya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom