
KUALA LUMPUR, 23 APRIL — Lembaga Perlindungan Pelajar Kota Mataram mendedahkan seorang pengarah yayasan pondok pesantren di Lombok Barat ditahan kerana disyaki merogol pelajar sejak 2016.
Joko Jumadi berkata suspek ditahan selepas mangsa membuat perbandingan dengan babak drama Bidaah yang sedang tular di Indonesia, lapor portal Detik.
“Mereka menonton Bidaah dan mula menyedari persamaan watak utama dengan pengalaman bersama pemimpin yayasan terbabit.
“Dari situ, mereka mula berani bersuara,” katanya dalam satu sidang media kelmarin mengulas penahanan pengarah yayasan terbabit.
Bidaah merupakan drama yang ditayangkan di aplikasi Viu memaparkan kisah pemimpin sesat menyalah guna kuasa ke atas pengikutnya.
Drama yang mengundang kontroversi ini dilakonkan Vanida Imran, Faisal Hussein, Reina Diana dan Fattah Amin serta diarahkan Pali Yahya.
Joko berkata setakat ini terdapat 20 mangsa dikenal pasti namun hanya tujuh bekas pelajar membuat laporan kepada pihak polis.
Katanya, kebanyakan mereka merupakan bekas pelajar sekolah yang masih di bawah umur ketika kejadian dengan modus operandi mangsa dipanggil ke bilik darjah.
“Suspek dikenali sebagai AF itu dikatakan memanggil mangsa seorang demi seorang ke sebuah bilik kelas pada waktu malam.
“Suspek kemudian memanipulasi mangsa dengan janji akan memberikan ‘keberkatan di rahim’ agar dapat melahirkan anak menjadi wali.
“Dia janjikan kononnya akan memberi keberkatan dalam rahim mangsa, supaya kelak mereka dapat melahirkan anak-anak yang menjadi insan suci dan bergelar wali,” katanya.
Insiden itu dipercayai berlaku secara berterusan dari 2016 hingga 2023 dengan sesetengah mangsa menjadi mangsa cabul sejak Tingkatan Satu hingga tamat sekolah.
Sementara itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah Mataram, Regi Halili mengesahkan siasatan kes tersebut dan pihaknya menerima enam laporan daripada mangsa setakat ini.
Katanya, polis sudah memeriksa lokasi kejadian yang dipercayai menjadi tempat pelaku melakukan perbuatan terkutuk itu.
“Buat masa ini, kami masih menjalankan siasatan lanjut dan mengumpulkan bukti serta keterangan. Mangsa yang tampil mungkin mencecah antara 10 hingga 15 orang.
“Suspek juga sudah kami tahan buat sementara waktu bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin,” katanya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom