
KUALA LUMPUR, 4 JUN — Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal memohon imuniti bagi mengelak saman sivil yang difailkan bekas pembantu penyelidiknya, Yusoff Rawther.
Keputusan Mahkamah Tinggi hari ini bermakna kes perbicaraan saman sivil Yusoff terhadap Perdana Menteri akan tetap berlangsung bemula 16 Jun ini.
“Dari perspektif kehakiman, persoalan yang dicadangkan tidak kelihatan memenuhi ambang kontroversi perlembagaan yang tulen,” kata Hakim, Roz Mawar Rozain.
Beliau menolak permohonan Anwar selepas mendapati ia tidak memenuhi peruntukan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (CJA).
Katanya, tiada satu pun peruntukan dalam Perlembagaan yang menimbulkan sebarang persoalan undang-undang yang nyata, substantif atau boleh diadili.
Roz Mawar berkata permohonan peguam Anwar, Alan Wong untuk menangguhkan prosiding pada 16 Jun ini juga ditolak mahkamah.
“Maaf, tangan saya terikat,” katanya yang meminta pihak defendan memfailkan permohonan penangguhan di Mahkamah Rayuan jika perlu.
Perdana Menteri pada bulan lalu memohon mahkamah memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan memberikan beliau imuniti daripada saman yang difailkan Yusoff.
Saman empat tahun lalu itu berkaitan serangan seksual yang didakwa berlaku sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri.
Anwar, 78, tidak hadir ke mahkamah hari ini dan hanya diwakili peguamnya, Alan dan Datuk Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie.
Yusoff diwakili peguamnya Muhammad Rafique Rashid Ali sementara Mohamed Haniff Khatri Abdulla sebagai peguam pemerhati Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM).
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom