Pasukan penyelamat lengkap dengan pemakaian PPE berjaya membuka pintu kereta yang terkunci menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan dua mayat yang ditemui di dalam kereta di di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam, petang semalam. – Foto Awani
BUKIT MERTAJAM – Titisan air dari sebuah kereta yang diletak di tepi jalan di sebuah taman perumahan di Taman Sri Rambai, di sini, membawa kepada penemuan dua mayat.
Mayat dua wanita dipercayai berusia lingkungan 20-an ditemui orang awam kira-kira jam 5.30 petang semalam, sebelum dimaklumkan kepada pihak polis.
Pemeriksaan pasukan polis dan bomba mendapati mayat sudah kembung dan berbau busuk, berada di tempat duduk hadapan kereta jenis Honda WRV.
Siasatan awal mendapati kedua-dua si mati berkemungkinan sudah meninggal dunia lebih daripada lima hari.
Terdahulu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, memaklumkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perda bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan meminta bantuan membuka pintu kereta terkunci pada jam 7.41 malam.
Sebaik tiba, pasukan penyelamat yang lengkap dengan pemakaian PPE (pakaian perlindungan diri) berjaya membuka pintu kereta yang terkunci menggunakan peralatan khas.
Katanya, terdapat dua mayat perempuan dewasa berada di tempat duduk hadapan kereta berkenaan.
Pihaknya kemudian menyerahkan kes itu kepada polis bagi tindakan lanjut.
Dua mayat ditemui kembung, berbau dalam kereta di Bukit Mertajam
Salah seorang mangsa dipercayai berasal dari Negeri Sembilan namun identiti kedua-duanya belum dapat disahkan buat masa ini.
SINAR HARIAN | Foto : AWANI | #InspirasiChannelz