Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah menitahkan semua jabatan dan agensi berkaitan perlu bersedia menerima kehadiran pelancong bersempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.
Mereka juga perlu memastikan semua kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan pelancongan berada dalam keadaan lengkap dan sempurna.
Baginda bertitah, ia bagi meletakkan Kedah sebagai destinasi pelancongan unggul dan lebih dikenali di peringkat antarabangsa.
“Bagi memastikan inisiatif kerajaan ini dapat direalisasikan dengan jayanya, aspek kebersihan dan keindahan perlu sentiasa berada pada tahap terbaik, serta menjadi agenda penting setiap pihak berkuasa tempatan (PBT), sepanjang kempen TMK 2025,” titah Sultan Kedah pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah, Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Kebesaran bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang Ke-82 di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit, di sini.
Baginda turut menyokong langkah proaktif yang digerakkan Menteri Besar Kedah yang menyasarkan Pulau Langkawi sebagai sebuah pulau pelancongan yang terbersih di dunia.
Manakala PBT juga perlu memastikan kebersihan dan keindahan persekitarannya dijaga dan dipantau dengan lebih efisien agar menjadi sebuah bandar bersih.
Baginda turut menyarankan agar kerajaan negeri dapat memupuk budaya hidup sihat serta persekitaran bersih bagi menjamin kesejahteraan serta kesihatan kepada seluruh rakyat negeri Kedah.