
PUTRAJAYA, 25 JUN — Tan Sri Azam Baki memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) akan membuat rayuan terhadap keputusan membebaskan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata perkara itu sudah dimaklumkan lebih awal oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
“Ya DPP memaklumkan saya, kalau sekiranya dibuat keputusan lain, rayuan kepada Mahkamah Persekutuan akan dibuat,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan Ahli Parlimen Muar daripada empat tuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.
Tiga panel hakim yang diketuai Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara dengan keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan.
Azam berkata keputusan mahkamah hari ini dihormatinya dan urusan di SPRM akan berjalan seperti biasa.
Katanya, sebarang keputusan melibatkan Syed Saddiq hari ini tidak bersifat peribadi dan ia tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
“Saya tidak ada personal dengan sesiapa. Saya tidak ada rasa kecewa atau suka dalam menyiasat apa-apa kes sekalipun,” katanya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom