
Oleh Kamil Awang
KUALA LUMPUR, 24 JUN — Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak melihat bilangan ahli parlimen kerajaan yang lebih ramai sebagai penghalang untuk menjalankan tugas.
Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata PAC bergerak secara kolektif dalam memastikan penyelewengan dan salah guna kuasa dapat dibanteras.
“Di dalam PAC, keanggotaan di pihak kerajaan lebih ramai daripada pembangkang. Mereka ada lapan ahli jawatankuasa campur satu timbalan pengerusi, jadi ada sembilan ahli.
“Pembangkang ada empat ahli jawatankuasa campur satu pengerusi maka ada lima ahli. Jadi jumlah semuanya 14 orang.
“Kalau lihat dari segi nisbah sudah pasti susah untuk kita buat sebarang keputusan jika dikira dari segi nisbah,” katanya dalam satu wawancara bersama Inspirasi Channelz.
Mas Ermieyati berkata dengan tindakan secara kolektif, hasrat PAC untuk memantau pembaziran, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan ketirisan mampu dicapai.
Katanya, walaupun komposisi tidak seimbang di antara ahli parlimen kerajaan dan pembangkang namun kesepakatan penting dalam menjalankan siasatan.
“Sebab itu saya menggunakan pendekatan apa jua yang kita lakukan, kami akan buat secara kolektif dan tidak secara undian.
“Bila ramai yang setuju, baru kami lakukan seperti perkara yang perlu dibincangkan dan apa yang perlu diberi perhatian. Masing-masing akan memberikan pandangan.
“Saya juga terbuka menerima pandangan ahli dalam PAC. Saya meraikan kepelbagaian pendapat kerana saya percaya keharmonian dalam organisasi sangat penting,” katanya.
Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata walau berdepan pelbagai tekanan — amanah dan tanggungjawab sebagai Pengerusi PAC akan tetap dilaksanakan.
Katanya, PAC akan terus menjalankan tanggungjawabnya sebagai jawatankuasa yang memantau urus tadbir agensi kerajaan tanpa rasa takut dan berpihak.
“Dalam satu jawatankuasa yang sangat penting, PAC sudah lama dalam Parlimen Malaysia memberi cerminan yang baik kepada ketelusan dan integriti.
“Fokusnya kepada pembaziran, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan ketirisan. Isu itu memberi keutamaan untuk dilihat PAC,” katanya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom