
KUALA LUMPUR, 24 JUN — PKR Tuaran menegaskan rakyat Sabah berasa jelik dan geli dengan sikap sebahagian peserta yang mengadakan demonstrasi di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Ketua Cabangnya, Razeef Rakimin berkata pihak berkuasa sudah memberikan kerjasama sewajarnya namun tidak kepada kekerasan dan keganasan.
“Di bawah kerajaan hari ini, pihak polis sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa tidak ada halangan bagi pihak ini mengadakan perarakan dan demonstrasi selagi mematuhi peraturan.
“Namun kempen yang bermodalkan sindiran, cacian dan makian melampau membuatkan rakyat Sabah merasa jelik dan ‘geli’ dengan cara kumpulan ini serta akhirnya tidak turut serta.
“Pada hari Sabtu terdapat insiden kekasaran apabila ada peserta menaikkan sepanduk mendesak siasatan ketirisan RM1.5 bilion tetapi dikasari peserta,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya semalam mengulas demonstrasi Gempur Rasuah 2.0 hujung minggu lalu.
Katanya, pada malam Sabtu pihak polis ditengking peserta hanya kerana pegawai polis ingin melihat dokumen pengenalan.
“Sebagai pihak berkuasa, pegawai polis mempunyai kuasa untuk melihat dokumen pengenalan mana-mana individu dan individu yang ingkar boleh diambil tindakan.
“Namun pegawai polis tenang untuk tidak termakan provokasi individu berkenaan yang cuba meraih perhatian.
“Selepas himpunan gagal mendapat sambutan dan hanya dihadiri kira-kira 50 hingga 80 peserta, mereka tampil pada hari kedua dengan gimik baru,” katanya.
Razeef berkata hari kedua menyaksikan peserta melakar karikatur Perdana Menteri dengan tujuan membakarnya.
Katanya, ini jelas aksi terdesak dan menyasarkan pihak yang salah kerana Perdana Menteri tidak terlibat dalam skandal rasuah di Sabah.
“Perdana Menteri sebelum ini meluluskan dan memberikan peruntukan RM3 juta bagi menyelesaikan masalah bekalan air di UMS selepas mendengar rintihan pelajar.
“Namun mengapa karikatur Perdana Menteri menjadi sasaran dan bukan individu yang dituduh menerima rasuah?
“Selepas dua kali cubaan membakar karikatur dengan petrol dilakukan, peserta masih gagal untuk membakar malah peserta yang bertindak menuang petrol hampir terbakar,” katanya.
Timbalan Ketua Penerangan PKR itu berkata insiden berkenaan amat dikesali kerana membabitkan soal keselamatan pengunjung tamu minggu di Jalan Gaya.
Katanya, tindakan individu yang hampir terbakar dan membaling gelen berisi petrol boleh mengundang insiden lebih buruk.
“Akibat aksi terdesak kumpulan ini, sehingga kini mereka dikecam teruk kerana kebiadapan dan mencemarkan imej mahasiswa.
“Rasuah bukan budaya kita namun ekstremisme dan vandalisme juga bukan budaya kita,” katanya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom