
KUALA LUMPUR, 23 JUN — Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO mempersoalkan dua pertuduhan berasingan dalam kes SRC International terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata kes berkenaan wajar dibicarakan secara bersama demi memberi keadilan kepada Perdana Menteri keenam itu.
“Apakah itu membuktikan pertuduhan terhadap Najib bertindih? Asalkan Najib dikenakan banyak pertuduhan hingga ada SRC 1.0 dan SRC 2.0?
“Sedangkan pertuduhan RM27 juta kes SRC 2.0 itu adalah sebahagian daripada RM42 juta dalam kes SRC 1.0. Kenapa tidak tuduh sekali sahaja?” soalnya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini mengulas keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Najib dilepas tanpa bebas (DNAA).
Katanya, Najib tidak diberi keadilan sewajarnya selepas belum dibicarakan dalam kes SRC 2.0 walau sudah menunggu sejak enam tahun lalu.
“Satu pihak mempersoalkan kenapa enam tahun? Kenapa dakwa jika belum bersedia? Ini bukan setakat tangguh tetapi profesionalisme pendakwaan oleh Jabatan Peguam Negara.
“Sebab itu ada peguam yang mendakwa penangguhan terpilih ini berlawanan dengan Perkara 5(1) iaitu hak untuk mendapatkan perbicaraan adil.
“Apakah Najib jadi mangsa kerana dia VVIP seperti dakwaan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah?” soalnya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom