
Oleh Kamil Awang
KUALA LUMPUR, 20 JUN — Peguam kanan menggesa semua pihak mampu membezakan lepas tanpa bebas (DNAA) yang diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata DNAA yang diberikan Hakim Mahkamah Tinggi hari ini sah, adil dan munasabah.
“Rakyat kena lihat dengan hati yang terbuka. Ia satu keputusan yang adil untuk mahkamah, pendakwa raya dan Najib.
“Rakyat tidak boleh melihat perintah DNAA dengan stigma negatif kerana alasan utama DNAA hari ini adalah dokumen yang diperlukan sedang diguna pakai dalam perbicaraan lain.
“Dalam undang-undang, kalau dokumen itu diguna pakai sebagai bukti dalam kes lain, kes SRC II tidak boleh mengambil sebahagian dokumen itu. Ia perlu selesai di sana dulu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Inspirasi Channelz mengulas keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang memberikan DNAA kepada Najib.
Katanya, DNAA itu seharusnya dipohon oleh pihak pendakwa raya memandangkan mereka belum bersedia dengan dokumen perbicaraan.
“Sepatutnya dalam kes ini pendakwa raya mohon untuk DNAA sehingga mereka perolehi semua dokumen yang diperlukan dalam perbicaraan.
“Mereka boleh gugurkan kes dahulu tetapi kenapa tidak berlaku sebab saya percaya pendakwa raya takut jika mereka pohon DNAA, rakyat akan marah seperti mana DNAA salah Zahid.
“Itu DNAA salah. Tidak semestinya semua DNAA salah. Ini adil kerana Najib tidak perlu diheret sebulan sekali untuk kes SRC II yang akan tangguh dan tangguh lagi,” katanya.
Haniff berkata DNAA Najib hari ini munasabah dan tidak relevan jika ia dikaitkan dengan kes DNAA Zahid.
Katanya, DNAA adalah hak yang dibenarkan dalam undang-undang dan ia harus diterjemahkan ke dalam situasi yang betul.
“Saya harap rakyat faham. Ada kenyataan melulu dan tidak sopan mengatakan DNAA lagi. Apa masalahnya? DNAA dalam undang-undang satu hak yang wujud.
“Pokoknya adakah ia digunakan dengan betul atau tidak? Dalam kes ini pendakwa raya takut mohon DNAA kerana takut dicemuh rakyat. Keputusan ini keputusan yang adil dan saksama.
“Jangan samakan DNAA Zahid di mana sampai hari ini pendakwa raya gagal mematuhi aku janji untuk menyiasat 11 alasan pengguguran pertuduhan pada 4 September 2023,” katanya.
Beliau berkata dengan pemberian DNAA kepada Najib, mahkamah dapat menggunakan masa mereka untuk mendengar kes yang lain.
Katanya, dokumen yang diperlukan pihak pendakwa raya juga akan diperoleh kelak untuk pendakwaan semula.
“DNAA Kes SRC II sah, teratur, munasabah dan adil untuk ketiga-tiga pihak. Mahkamah, pendakwa raya dan yang dituduh iaitu Najib,” katanya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom