
KUALA LUMPUR, 20 JUN — Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).
Hakim K. Muniandy mengeluarkan perintah itu selepas pihak pendakwaan gagal menyediakan dokumen perbicaraan walau tuduhan sudah dibuat sejak 2019.
Najib diberikan DNAA atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram dana syarikat pelaburan strategik, SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta.
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah minggu lalu berkata, DNAA paling sesuai diberikan mengambil faktor garis masa yang tidak pasti bila perbicaraan itu akan bermula.
Katanya, tuduhan terhadap Najib dibuat pada 2019 dan mengambil masa enam tahun manakala representasi hanya dikemukakan pada 31 Julai 2023.
Shafee dalam satu sidang media hari ini berkata hakim memberikan DNAA selepas pihak pendakwaan masih belum dapat menyediakan dokumen perbicaraan.
“Hakim menyatakan undang-undang menegaskan mana-mana perbicaraan terutama perbicaraan jenayah, kelengahan sesuatu perbicaraan itu seharusnya menjadi hal.
“Hakim berkata ini menunjukkan pihak pendakwaan tidak bersedia menjalani kes ini. Hakim membuat keputusan bahawa yang paling adil adalah memberikan perintah DNAA.
“Sebab ia tidak akan prejudis kepada pihak pendakwaan malah menegakkan keadilan kerana pihak yang dituduh tidak akan tertunggu-tunggu,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata Najib hari ini berasa gembira dengan keputusan DNAA itu selepas terpaksa menunggu lama dalam permohonannya.
Katanya, dengan keputusan DNAA hari ini akan membolehkan Najib memfokuskan kepada kes perbicaraannya yang lain termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Beliau gembira kerana tidak banyak kes bermain di kepalanya dan beliau sudah lama memohon DNAA.
“Akhirnya hakim sedar selepas meneliti rekod, ini terlalu lama tanpa sebab yang munasabah. Beliau sangat gembira jadi sekarang beliau boleh menumpukan kes 1MDB sahaja.
“Dalam kes ini beliau dilepas tetapi sebab beliau ada hukuman penjara yang lain, beliau dilepas tetapi perlu kembali ke penjara,” katanya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom