Peguam seru Terrirudin cuti tunggu bicara, siasatan polis

KUALA LUMPUR, 17 JUN — Peguam Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla menggesa Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh direhatkan sementara sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan. 

Haniff berkata bekas peguam negara itu perlu direhatkan bagi memelihara integriti mahkamah dan mengelak unsur prejudis dalam kes yang dikendalikannya. 

“Saya syorkan pejabat Ketua Hakim Negara boleh mengambil langkah patut. Bukan untuk memprejudiskan Terrirudin tetapi untuk mengukuhkan hormat dan integriti mahkamah.

“Maka Ketua Hakim Negara boleh merehatkan Terrirudin daripada menjalankan fungsi sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dalam mana-mana panel rayuan atau permohonan. 

“Adakah dengan wujud pengetahuan umum tentang prosiding penghinaan mahkamah dan laporan polis, rakyat akan yakin dan hormat dengan sistem kehakiman?” soalnya. 

Beliau berkata demikian menerusi video berdurasi 10 minit yang dimuatkan di laman YouTube miliknya semalam. 

Mahkamah Tinggi minggu lalu membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendakwa Terrirudin atas kesalahan menghina mahkamah. 

Hakim K Muniandy berkata kes itu tidak tertakluk arahan yang menghentikan prosiding sementara menunggu rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan. 

Najib pada 21 Mei lalu mendakwa Terrirudin menghina mahkamah selepas gagal menunjukkan titah adendum yang memberikan bekas perdana menteri itu tahanan rumah. 

Peguam Najib semalam membuat laporan polis selepas anak guamnya dihalang berbuat demikian bagi melaporkan kesalahan Terrirudin. 

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata pihaknya meminta Terrirudin disiasat di bawah Seksyen 204 dan Seksyen 209 Kanun Keseksaan. 

Haniff berkata Terrirudin perlu diarahkan bercuti memandangkan tugasnya sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan perlu menegakkan integriti. 

“Adakah ia moral, beretika dan molek untuk seseorang yang menghadapi prosiding penghinaan mahkamah dan siasatan polis dibiarkan mendengar rayuan atau permohonan?

“Isunya di sini bukan tentang individu biasa tetapi tentang integriti mahkamah dan penghormatan rakyat terhadap mahkamah,” katanya. 

Beliau berkata isu berikutnya timbul jika jawatan Tun Tengku Maimun Tuan Mat tidak dilanjutkan sebagai Ketua Hakim Negara.

Katanya, Ketua Hakim Negara yang baharu perlu menunggu sehingga dua kes membabitkan Terrirudin selesai dibicarakan di mahkamah. 

“Seandainya tiada lanjutan tempoh jawatan Tengku Maimun, maka beliau akan bersara pada 1 Julai ini. 

“Saya syorkan mana-mana bakal Ketua Hakim Negara yang masuk selepas itu menunggu keputusan prosiding penghinaan mahkamah dan siasatan polis terhadap Terrirudin,” katanya.

Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom

- Iklan -

Ikuti Kami

Popular

Date:

Berita-berita Lain
Berita Lain

Kajang macam Tongsan, apa MPKj buat? Soal aktivis

KUALA LUMPUR, 17 JUN — Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia...

Anwar bimbang budaya membaca semakin pudar

KUALA LUMPUR, 17 JUN — Datuk Seri Anwar Ibrahim...

Naim Daniel tidak mengaku salah amang seksual remaja 17 tahun

KUALA LUMPUR, 17 JUN — Pelakon Naim Daniel hari...

Pempengaruh ramal nasib Rafizi serupa Sany Hamzan

KUALA LUMPUR, 17 JUN — Pempengaruh media sosial membayangkan...