
KUALA LUMPUR, 13 JUN — Perdana Menteri memaklumkan kerajaan menanggung penuh kos perbelanjaan Tun Dr Mahathir Mohamad ke Forum Antarabangsa Nikkei di Jepun, akhir bulan lalu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walau bekas Perdana Menteri itu cenderung mengkritik kerajaan Madani namun beliau terbuka membabitkan Tun Mahathir, lapor Harian Metro.
“Setiap permohonan perbelanjaan ke luar negara oleh bekas Perdana Menteri ada peraturan tertentu yang penting diluluskan oleh Perdana Menteri.
“Baru-baru ini dia [Tun Mahathir] ada mohon nak pergi ke Persidangan Nikkei di Jepun. Jadi, dia mohon daripada saya, saya luluskan.
“Walaupun saya ingat [permohonan untuk] sembilan orang, saya luluskan untuk tujuh orang dengan belanja sekitar RM486,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Seminar Pemantapan Organisasi PKR di Melaka semalam.
Tun Mahathir Mohamad pada Selasa menggesa negara seluruh dunia memfokuskan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam memastikan masa depan lebih gemilang.
Katanya, R&D antara pendekatan yang dipelajari sepanjang lawatan tahunannya ke Jepun bersempena Forum Nikkei hujung bulan lalu.
Anwar berkata lawatan delegasi Tun Mahathir ke Jepun tetap diluluskan walau memakan belanja yang besar.
Katanya, lawatan Tun Mahathir ke Jepun membuktikan tiada dendam dalam pentadbiran semasa kerajaan walau urusan berkenaan perlu mendapat kelulusan Perdana Menteri.
“Saya tidak mahu ada salah faham. Sebenarnya ada peraturan yang membolehkan dengan syarat diluluskan Perdana Menteri.
“Saya tidak mahu ambil sikap yang negatif walaupun hari-hari [Tun Mahathir] serang kita, kita masih luluskan,” katanya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom