
KUALA LUMPUR, 9 JUN — Calon Pakatan Harapan Parlimen Lenggong dalam Pilihan Raya Umum yang lalu kesal kemalangan maut membabitkan kenderaan berat masih berulang.
Datuk Jurey Latiff Rosli berkata Menteri Pengangkutan Anthony Loke perlu mengambil tindakan serius agar insiden sama tidak berulang.
“Apa yang Menteri Pengangkutan buat? Tiada pengumuman tegas. Tiada pelan tindakan drastik. Tiada sidang media tergempar setiap kali nyawa melayang.
“Sekadar serah pada siasatan polis. Adakah nyawa rakyat tidak cukup mahal untuk diangkat sebagai keutamaan negara?
“Kita tidak menolak kemalangan berlaku bila-bila masa. Tetapi jika puncanya berulang dan berulang. Laju, cuai dan lalai. Itu bukan lagi kemalangan, itu kelalaian sistemik,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini mengulas nahas bas membabitkan pelajar sebuah universiti awal pagi ini.
Katanya, kemalangan membabitkan kenderaan berat bagai tiada penghujung apabila kerajaan sekadar berjanji untuk menjalankan siasatan.
“Sejak akhir-akhir ini, kita dikejutkan dengan deretan kemalangan maut melibatkan bas, lori dan kenderaan berat di jalan raya.
“Rentetan tragedi demi tragedi ini seperti tiada penghujung. Mangsa silih berganti. Yang tinggal hanyalah ucapan takziah, poster simpati dan janji ‘akan siasat’.
“Persoalannya, di mana penguatkuasaan undang-undang? Berapa banyak lagi nyawa harus dikorbankan sebelum tindakan sebenar diambil?” soalnya.
Jurey berkata sudah tiba masanya had kelajuan kenderaan berat dikuatkuasa dengan tegas melalui sistem pemantauan automatik dan pemeriksaan berkala pihak berkuasa.
Katanya, kenderaan berat perlu diwajibkan menggunakan lorong khas dengan kawalan had kelajuan dan sistem rehat wajib dengan log GPS.
“Kita sudah lama maklum pemandu bas dan lori bekerja dalam tekanan luar biasa, mengejar waktu, dibayar berdasarkan trip, kurang rehat dan ada yang mengambil bahan terlarang.
“Namun sistem terus membiarkan keadaan ini berlarutan tanpa pembaikan menyeluruh terhadap polisi dan pemantauan.
“Kami rakyat tidak mahu lagi bangun pagi disajikan dengan berita ngeri. Jangan jadikan kematian di jalan raya sebagai kadar statistik yang dibaca dengan nada datar,” katanya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom