
KUALA LUMPUR, 3 JUN — Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) yang baharu.
Sultan Ibrahim menyerahkan watikah berkenaan kepada Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob menerusi satu majlis yang diadakan di Istana Negara hari ini.
Istiadat berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Alamin dan Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Muhammad Shahrul anak kelahiran Pahang merupakan figura yang cukup dikenali dalam dunia diplomasi Malaysia.
Beliau memulakan khidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 1988 dan dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar dari 2019 hingga 2022.
Sepanjang tiga dekad berkhidmat, beliau pernah menjadi Duta Besar ke Qatar dan Austria serta Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Pelantikan beliau sebagai Duta Besar Malaysia ke AS hadir ketika negara berusaha memperkukuh kerjasama dua hala dengan negara itu dalam pelbagai bidang strategik.
Ini termasuk perdagangan dan pelaburan, keselamatan serantau, pendidikan tinggi, perubahan iklim dan teknologi masa depan.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom