
KUALA LUMPUR, 3 JUN — Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz) menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Presidennya, Ahmad Dusuki Abd Rani berkata sokongan penuh juga diberikan kepada Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Menjadi kebimbangan Geng Ustaz melihat beberapa kenyataan yang tersebar sehari dua ini dilihat seolah-olah mahu menolak kepimpinan Hadi dan Tuan Ibrahim.
“Puak-puak yang mahu menolak kepimpinan Hadi ini memberikan alasan dangkal kononnya PAS akan lebih maju ke hadapan sekiranya dipimpin oleh jurutera dan profesional.
“Walhal PAS sudah berdiri dengan megah dan kuat pada hari ini selama ini di bawah telunjuk, buah fikiran dan pimpinan kedua-duanya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan semalam menyokong kepimpinan Hadi dan Tuan Ibrahim menuju Pemilihan PAS September ini.
Katanya, gesaan kumpulan tertentu yang mahu menukar kepimpinan PAS ibarat mengulang kembali sejarah parti Islam itu pada 2015.
“Apakah kudis lama menjelma kembali di dalam PAS hari ini? Kudis yang cuba menukar asolah (keaslian) perjuangan parti Islam dengan cuba menukar nahkoda.
“Puak berkudis ini juga dilihat menyebarkan sangkaan jahat terhadap Hadi apabila menyebarkan video supaya Hadi dilihat daif dan kononnya tidak mampu lagi memimpin.
“Anak gerakan Islam perlu sedar bahtera gerakan Islam yang sedang dipandu kepimpinan ulama ini akan sering diganggu oleh syaitan di kalangan manusia dan jin,” katanya.
Ahmad Dusuki berkata jemaah gerakan Islam akan mundur, tidak berjaya dan tidak dihormati sekiranya tampuk kepimpinan ditukar kepada pimpinan profesional.
Katanya, Geng Ustaz berpendirian teguh akan bersama mempertahankan kepimpinan Hadi dan Tuan Ibrahim sehingga ke akhir hayat.
“Mereka yang cuba-cuba menukar kepimpinan ulama inilah golongan yang cuba melanggar Presiden PAS.
“Mereka tidak senang kerana ada agenda yang tidak dapat mereka realisasikan melainkan sekiranya presiden dan timbalan itu berganti tangan,” katanya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom