
Oleh Kamil Awang
KUALA LUMPUR, 27 MEI — Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar enggan memanjangkan kisah penceraiannya bersama pelakon Farisha Irwayu selepas hangat diperkatakan masyarakat.
Aktivis masyarakat itu berkata lebih banyak perkara sulit berlaku sepanjang perkahwinan mereka namun ia tidak akan dihebahkan kepada umum.
“Benda yang saya bercerita enam tahun tidur di luar perkara benar. Saya belum bercerita perkara yang teramat sulit antara saya dengan bekas isteri.
“Pihak yang membuka perkara yang tidak patut, itu urusannya dengan Allah. Kalau di awal saya rasa bersalah, pasti saya tidak muncul di media dan membuat sumpah laknat.
“Ini bukan soal berlapik tetapi saya takut terganggu urusan doa kepada Allah. Orang lain solat hajat bagi pihak saya, saya pula dengan beremosi, mahu mengajar Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu wawancara khas bersama Inspirasi Channelz mengulas perkembangan penceraiannya bersama Farisha.
Pelakon filem Pendekar Awang sebelum ini mendedahkan kepada media bahawa perkahwinan mereka hanya bahagia selama setahun sahaja.
Katanya, lebih memeritkan apabila terpaksa tidur di ruang tamu selama enam tahun dengan Farisha mendakwa geli untuk tidur bersama dan bertindak mengunci pintu biliknya.
Tuan Asmawi berkata tiada pasangan yang mendirikan rumah tangga mahu mengakhiri perkahwinan mereka dengan penceraian.
Katanya, segala apa yang berlaku dianggap ujian Allah dan pihak yang berdusta akan diadili sama ada di dunia atau akhirat.
“Untuk mengusik seseorang menerusi media, itu bukan amalan saya kerana saya tahu Allah lambat-laun akan membuka kebenaran.
“Kenyataan saya sebelum ini dalam posisi mempertahankan diri saya atas apa persoalan yang ditimbulkan. Saya kira itu sudah memadai.
“Kalau saya membuat perkara yang sama bermakna saya tiada bezalah dengan dia sebab saya sudah serah kepada Allah,” katanya.
Ahli Kehormat Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) itu berkata kisah perceraiannya sudah ditakdirkan dan tiada niat menyimpan dendam.
Katanya, perdebatan masyarakat di media mahupun media sosial perlu dihentikan bagi mengelak menyampaikan perkara tidak benar.
“Sesetengah pihak berasa menang dengan mencerca, mengkeji dan membuat tohmahan. Saya serah kepada Allah. Saya tiada niat untuk berdendam.
“Saya minta kepada ulama dunia yang saya kenal, sahabat yang juga imam mengadakan solat hajat. Saya kira itu memadai sebab solat hajat ini kita berserah kepada Allah.
“Takdir ini saya terima namun sabar ada hadnya. Saya rasa perkara ini perlu ditamatkan. Tidak perlu cari peluang tular di media sosial dengan berkata tidak benar,” katanya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom