
KUALA LUMPUR, 23 MEI — Aktivis politik, Chegubard kesal dengan tindakan kerajaan Negeri Sembilan yang mengundang pemimpin DAP dalam Taklimat Hal Ehwal Islam di negeri itu.
Chegubard, nama popular Badrul Hisham Shaharin, berkata kerajaan negeri perlu mengambil langkah lebih “pro-aktif” dengan melantik pemimpin DAP dalam majlis agama negeri.
“Tahniah dan hebat rejim campuran Negeri Sembilan. Taklimat hal ehwal Islam Negeri Sembilan, wakil rakyat DAP hadir!
“Kalau boleh bukan terlibat begini sahaja, lantik terus dalam ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) lagi baik.
“Sebab kalau apa-apa berkenaan Melayu Islam boleh penguasa dengar dulu pandangan DAP sesuai dilaksana, dikuatkuasa atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini mendedahkan Taklimat Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan yang berlangsung Selasa lalu.
Menerusi foto yang dikongsikan, taklimat berkenaan dihadiri Exco DAP Teo Kok Seong yang memegang portfolio perindustrian dan hal ehwal bukan Islam.
Chegubard berkata UMNO Negeri Sembilan diseru tidak membantah taklimat berkenaan yang dilihat sebagai satu usaha yang “baik”.
Katanya, polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga diseru untuk tidak menyiasat pendedahan itu kerana ia meupakan satu pujian.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom