Dari #MataPena Datuk A Kadir Jasin
Tolonglah Tegas, Adil dan Berhemah
1. Kejadian pengawal Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada Pemangku Sultan Johor yang mengkasari (menumbuk) pemandu e-hailing pada 28 Mei lalu sepatutnya tidak timbul kalau PDRM benar-benar profesional dan berdisiplin serta menjalankan tugas dengan `Tegas, Adil dan Berhemah’.
2. Malangnya, tanda-tanda ketidakprofesionalan dan ketidakdisiplinan pasukan keselamatan negara itu bertambah nyata apabila ia cuba menutup kes itu dengan pelbagai tipu helah dan dolak-dalik. Sampai hari ini belum ada ketentuan.
3. Maaf cakaplah kalau saya terpaksa kata, tidak ada alasan dan kemaafan kepada pasukan itu, daripada paling atas kepada yang paling bawah. Daripada Ketua Polis Negara (KPN) kepada mata-mata.
4. Saya dilahir dan dibesarkan menghormati polis. “Tabik Tuan!” adalah semboyannya. Pola fikir (mindset) itu bertambah kukuh apabila saya menjadi wartawan mulai tahun 1969. Antara tugas terawal saya adalah “crime beat” yang mendekatkan saya dengan polis.
5. Interaksi terakhir dan terpenting saya dengan PDRM adalah menyimpan rahsia lebih setahun mengenai rundingan damai di antara Kerajaan Malaysia dan Thailand dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Para pengarang bekerja rapat dengan ketua perunding Malaysia, Abdul Rahim Noor, yang ketika itu Pengarah Cawangan Khas. Pasal ke Bukit Aman untuk disiasat, itu perkara biasa kepada saya sebagai wartawan dan pengarang.
6. Saya juga menduduki Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia 2004-2005. Jadi banyak cerita baik dan buruk mengenai polis saya tahu. Adik beradik dan suku-sakat pun banyak yang jadi polis.
7. Adalah sangat luar biasa apabila pada zaman Dr Mahathir Mohamad yang dituduh maha zalim dan maha firaun oleh penyokong reformasi, bekas KPN (Abdul Rahim) disiasat, didakwa dan dihukum kerana menumbuk Anwar Ibrahim dalam penjara. Tetapi pada era yang dikatakan madani ini, polis seolah-olah berdolak-dalik dalam kes anggotanya menumbuk seorang orang kurang upaya (OKU). Yang tumbuk itu bukan KPN pun, polis biasa saja.
8. Kalau mula-mula takut hendak berterus terang kerana anggota polis yang buat onar itu pengawal kepada orang besar, sekarang tidak ada alasan lagi.
9. Orang besar itu sendiri, iaitu Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Idris, secara terbuka telah meminta kes itu disiasat dengan rapi supaya nama beliau tidak terus diseret ke dalamnya.
10. Saya minta KPN jagalah anak buah baik-baik. Beri mereka latihan, tunjuk ajar dan nasihat yang betul serta awasi akhlak apabila berurusan dengan orang ramai.
11. Khusus mengenai yang ditugaskan mengawal dan mengiring orang besar-besar ini, KPN kena ambil kira yang sekarang bukan macam dulu-dulu lagi.
12. Dulu orang besar-besar tinggal dalam “compound” macam istana atau kediaman rasmi. Terpisah daripada orang ramai dan, dengan itu, lebih mudah dikawal. Pada akhir-akhir ini, bukan saja pemimpin kerajaan malah Raja-raja pun ada yang menginap di penginapan umum seperti hotel dan resort.
13. Dalam keadaan sedemikian, tentulah orang besar-besar itu dan pengiring serta pengawal keselamatan mereka akan berselisih dan, sekali-sekala, bertembung dengan orang ramai.
14. Misalnya, peristiwa yang melibatkan pengawal Tunku Ismail Idris itu dilaporkan berlaku di hotel terkemuka St Regis di ibu negara. Tempat macam St Regis, Pavillion dan Manderin Oriental adalah tempat awam yang semua orang ada akses dan ada hak.
15. Mintalah kepada KPN dan segala orang besar-besar yang ada pengiring dan pengawal agar mengingatkan orang bawah kawalan mereka supaya jangan menunjukkan kuasa sehingga melampau-lampau (overzealous).
16. Kita berada dalam zaman “viral”. Ramai yang memiliki telefon pintar juga memiliki akaun media sosial. Kesalahan kecil dan besar, perbuatan tidak seronok dan apa saja boleh ditularkan tanpa meminta kebenaran daripada sesiapa.
Wallahuaklam. Terima kasih.
#InspirasiChannelz#inspirasiberita#MataPena
See insights and ads
All reactions:
39Ahmad Fazli Mohammad, MyTimes.My and 37 others