
KUALA LUMPUR, 20 MEI — Datuk Seri Amirudin Shaari menegaskan keputusannya mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR demi memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri.
Menteri Besar Selangor itu berkata pengukuhan parti juga menjadi matlamatnya dalam usaha mengeratkan kerjasama dalam kerajaan campuran.
“Saya menawarkan diri dan khidmat sebagai calon Naib Presiden dengan niat dan matlamat untuk mengukuhkan PKR sebagai parti teras kerajaan perpaduan.
“Serta bagi mengekalkan Anwar sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua,” katanya menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini.
Amirudin berkata menerusi pemilihan kali ini, beliau menawarkan lima teras utama dalam gagasan Reformasi Cita Bangsa bagi menampilkan kelainan.
Katanya, keadilan sebagai teras reformasi nurani rakyat, perpaduan, keadilan, kesejahteraan dan citra masa hadapan.
Pemilihan PKR kali ini menyaksikan persaingan sengit 12 calon termasuk empat penyandang merebut jawatan Naib Presiden.
Kongres Nasional PKR akan membuka tirainya esok sehingga Sabtu ini di Johor Bahru dengan hari pengundian ditetapkan pada Jumaat.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom